fbpx

Azmin perlu banyak membaca – Shamsul Iskandar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Shamsul Iskandar

KUALA LUMPUR- Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali digesa lebih cakna terhadap perkembangan semasa mengenai Kerajaan Perpaduan.

Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd. Akin berkata, bekas Ahli Parlimen Gombak itu perlu banyak membaca khususnya berita tempatan supaya tidak kabur dengan situasi semasa negara.

“Jelas perubahan demi perubahan drastik dilaksanakan Kerajaan Perpaduan, namun mungkin disebabkan pandangan semakin kabur atas faktor usia maka beliau gagal untuk melihat.

“Contoh terbaik adalah bantuan khas RM10 juta dari Bernas untuk tahun 2022 dan RM50 juta pada tahun 2023.

“Ini tidak pernah berlaku dalam pentadbiran sebelum ini tetapi direalisasi hasil inisiatif yang digerakkan sendiri Datuk Seri Anwar Ibrahim berunding dengan Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary selepas mengangkat sumpah jawatan hujung November tahun lalu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Shamsul Iskandar merujuk kenyataan Azmin hari ini yang menyifatkan Kerajaan Perpaduan cuba menutup kelemahan mereka mentadbir negara dengan memberi tekanan kepada PN.

Tambah Azmin, sudah tiga bulan kerajaan dibentuk tetapi tidak ada sebarang langkah dan tindakan yang diambil oleh kerajaan hari ini untuk membantu rakyat.

Jelas Shamsul Iskandar, sumbangan tunai Rahmah fasa 1 bernilai RM1.67 bilion yang diawalkan ke bulan Januari berbanding Mac memberi manfaat kepada 8.7 juta rakyat dan inisiatif Menu Rahmah yang disokong lebih 15,000 peniaga dari pelbagai persatuan memberi kelegaan kepada rakyat yang bekerja mendapat sumber nutrisi lengkap hanya pada kos RM5.

“Kalau hendak disenaraikan semua inisiatif Kerajaan Perpaduan maka kenyataan media ini akan bertukar menjadi artikel, jadi rajin-rajinlah membaca supaya tidak ketinggalan mengetahui isu semasa.

“Saya juga yakin rakyat hari ini lebih matang dalam menilai gelagat pembangkang yang gagal untuk melaksana tugas semak dan imbang sebaliknya hanya menyerang pentadbiran kerajaan perpaduan membabi buta tanpa asas,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI