fbpx

PATI curi-curi masuk penempatan haram di Cyberjaya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PENEMPATAN haram di Cyberjaya ini menempatkan kira-kira 100 buah rumah warga asing dan telah bertapak selama lapan tahun kawasan berkenaan. – FAISOL MUSTAFA

CYBERJAYA – Penempatan ha­ram pendatang asing tanpa izin (PATI) di sebuah kawasan hutan belukar di Cyberjaya yang digempur Jabatan Imigresen (JIM) dalam satu operasi kelmarin masih belum dirobohkan.

Tinjauan Kosmo! hampir dua jam di lokasi berkenaan mendapati masih terdapat kelibat beberapa warga asing menaiki motosikal dan berjalan kaki menuju ke salah sebuah perkampungan kecil berkenaan.

Penempatan itu mempunyai empat perkampungan kecil menempatkan kira-kira 100 buah rumah warga asing.

Sepanjang berada di lokasi, tidak kelihatan mana-mana pihak berwajib masuk ke penempatan haram itu walaupun sudah lebih 24 jam digempur.

Wartawan Kosmo! sempat mendekati dua wanita warga ­asing yang sedang sibuk mengemas barangan mereka dipercayai untuk berpindah keluar dari kawasan tersebut.

Seorang wanita dikenali Watie, 50-an berkata, dia dan rakannya mahu cepat keluar dari penempatan itu sebelum ia dirobohkan pihak berkuasa.

Jelas wanita yang berasal dari Lampung, Indonesia itu, suami­nya bersama beberapa penghuni di situ telah ditahan JIM dalam operasi kelmarin.

Beberapa PATI mengangkut barangan mereka dan keluar dari penempatan berkenaan semalam.

“Sedang kemas-kemas baju kerana mahu pindah keluar cepat, suami saya telah dibawa imigresen semalam. Sekarang saya mahu pulang ke kampung,” katanya di sini semalam.

Katanya, dia yang bekerja sebagai pekerja pembersihan itu memberitahu, kebanyakan mereka yang ditahan dalam operasi itu merupakan suku Madura.

Ceritanya, dia bersama suami telah menetap di penempatan haram itu sejak setahun yang lalu dan lelaki itu bekerja sebagai pekerja landskap.

Kosmo! semalam melaporkan, JIM menggempur satu penempatan PATI haram membabitkan empat buah perkampungan kecil yang berselindung di sebalik bukit dan hutan belukar di Cyberjaya di sini kelmarin.

Penempatan itu dilengkapi pelbagai kemudahan seperti bekalan air dan elektrik serta kedai runcit.

Penempatan itu sukar untuk dikesan kerana ia terletak kira-kira tiga hingga empat kilometer dari jalan utama.

Dalam serbuan itu, seramai 56 warga Indonesia berjaya ditahan terdiri daripada 26 lelaki dan 29 wanita yang berusia lingkungan 16 hingga 70 tahun.

Kejayaan itu hadir hanya dua minggu selepas sebuah perkampungan haram di Nilai, Negeri Sembilan yang menempatkan berpuluh-puluh buah rumah termasuk sebuah sekolah diserbu awal bulan ini.

PENEMPATAN haram membabitkan empat perkampungan itu dipercayai mempunyai 100 buah rumah.

Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Sepang (MPS), Datuk Abd. Hamid Hussain berkata, pihaknya kini sedang mengenal pasti pemilik ta­nah penempatan haram tersebut.

“Sekiranya tapak tersebut adalah tanah kerajaan, maka kita akan menyelaraskan bersama pihak berkaitan untuk tindakan seterusnya.

“Jika tapak milik individu ataupun persendirian, jadi pihak MPS akan mengeluarkan arahan agar pemilik tanah memulihkan serta merobohkan penempatan berkenaan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI