fbpx

Padah guna plat ‘fancy’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Antara kenderaan yang diperiksa dalam operasi khas di susur keluar LKSA, Shah Alam

SHAH ALAM – Tindakan lapan kenderaan menggunakan nombor plat ‘fancy’ memakan diri apabila dikenakan tindakan dalam operasi khas di susur  Lebuh Raya Kemuning-Shah Alam (LKSA) di sini, semalam.

Lima kereta dan tiga motosikal itu disaman polis dalam Op Khas Kesalahan Nombor Pendaftaran berkenaan bermula kira-kira pukul 10.30 pagi.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, operasi itu dilakukan hasil aduan awam berkaitan pemilik kenderaan mempamerkan nombor plat yang tidak mengikut spesifikasi ditetapkan.

Kata beliau, pihaknya bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor menjalankan pemeriksaan ke atas 80 kenderaan dan 96 individu.

“Sebanyak 32 jumlah saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan termasuk lapan berkaitan nombor plat fancy.

“JAS turut mengeluarkan tiga notis pemeriksaan terhadap tiga pemandu lori atas kesalahan ekzos,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Tambah Mohd. Iqbal, operasi khas itu dikuatkuasakan bermula 15 sehingga 28 Februari ini.

“Penguatkuasaan itu juga susulan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman menerima banyak rungutan mengenai penggunaan nombor plet berkenaan.

“Justeru, semua pengguna jalan raya dinasihatkan sentiasa mematuhi peraturan bagi mengelak dikenakan tindakan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI