fbpx

Rupa-rupanya menang ‘selfie’, kalah undi – KJ

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KJ ceria bercerita pengalamannya ketika bertugas pada hari hari pertama di konti Hot FM.

PETALING JAYA – “Saya ingat menang sebab apabila kempen, ramai yang ajak ‘selfie’. Rupa-rupanya, saya kalah, menang ‘selfie’ tapi kalah undi,”

Demikian pengakuan bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin yang berkongsi kisah di sebalik Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ketika memulakan tugas sebagai
penyampai radio Hot FM, awal pagi tadi.

Tampil santai dan ceria, Khairy turut mengaku berasa buntu memikirkan masa depan akibat hilang pekerjaan berikutan kalah pada PRU15.

Katanya yang sudah tiga penggal bertanding dan menang, tetapi tewas di Parlimen Sungai Buloh, melihat ramai yang mahu bergambar bersama membuatkannya yakin mampu mara.

“Selepas kekalahan November lalu, saya tak tahu nak buat apa. Memang ‘jammed’ sebab fikir masa depan,” katanya yang enggan dilupakan khalayak biarp[un sudah tiada jawatan dalam pentadbiran negara dan parti politik.

Malah figura yang sebelum ini turut menyerlah di Parlimen Rembau, Negeri Sembilan berkongsi situasi kini yang berehat seketika daripada politik selepas dipecata daripada UMNO pada 19 November lalu.

Sebelum itu beliau juga secara berseloroh menyatakan menerima tawaran stesen radio tersebut kerana belum layak menerima pencen atas tugas menteri yang pernah digalas sebelum ini.

“Sangka saya, walaupun kalah dalam pilihan raya, saya akan dapat pencen untuk tugas-tugas menteri yang pernah saya pikul sebelum ini.

“Rupa-rupanya, saya kena tunggu hingga usia mencecah 50 tahun baru boleh dapat pencen. Sekarang, saya baru 47 tahun.

“Maknanya kena tunggu tiga tahun lagi. Disebabkan itu, saya terima tawaran untuk jadi DJ Hot FM ini,” katanya disambut tawa teman gandingan, Johan dan AG.

Awal pagi tadi Kosmo! melaporkan ramai peminat ahli politik ini bekas Ketua Pemuda UMNO itu sanggup bangun awal semata-mata mahu mengikuti celotehnya pada hari pertama bergelar penyampai radio.

Menerusi tinjauan dalam ruangan komen Instagram dan YouTube menunjukkan rata-rata terhibur dengan penyampaian KJ yang santai, namun pada masa sama menyelitkan isu semasa dan fakta ilmiah sebagai pengisian.

“Saya melihat bahawa ini adalah platform yang terbaik untuk menyampaikan informasi dan juga maklumat dengan isu-isu semasa.

“Walaupun dalam Bekpes Hot kita banyak bergurau, tetapi saya nak bawa satu elemen di mana banyak perkara dapat kita bincangkan.

“Saya masuk radio ini sebab nak bincangkan perkara serius dan terkini seperti musibah gempa bumi di Turkiye dan Syria.

“Minta juga doakan mangsa selain bantu hulurkan sumbangan kepada tabung Mercy Malaysia. Kita ucapkan selamat maju jaya kepada Smart dan bomba yang ditugaskan ke sana,” katanya.

Pada kemunculan di hari pertama ini, KJ turut berkongsi pelbagai tawaran kerjaya diterimanya termasuk daripada pasukan bola sepak Johor Darul Takzim (JDT).

Pada 9 Februari lalu, KJ mengesahkan bakal menyertai Hot FM dalam temu bual panggilan telefon pada segmen Bekpes Hot yang dikendalikan Johan, AG dan Datuk AC Mizal.

Tawaran Hot FM kepada KJ dibuat menerusi surat terbuka di Instagram @hotfm976 membabitkan jawatan sebagai penyampai radio yang akan bertugas setiap Isnin hingga Jumaat, antara jam 6 pagi hingga 10 pagi.

Buat masa ini, Khairy menggantikan tempat seorang lagi penyampai segmen pagi, Fara Fauzana yang mengerjakan umrah selama dua minggu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI