PADA pagi 22 Mac 2024 lalu iaitu bersamaan hari ke-11 umat Islam berpuasa, negara telah digemparkan dengan satu kejadian tragis yang sukar diterima akal.
Kejadian menyayat hati itu melibatkan seorang pelajar lelaki berusia 17 tahun yang ditemui mati di dalam bilik asrama sebuah kolej vokasional di Lahad Datu, Sabah.
Lebih memilukan apabila kematian itu berlaku hanya kira-kira dua minggu selepas sesi persekolahan baharu dibuka.
Berdasarkan siasatan awal polis, mangsa disyaki telah dipukul oleh sekumpulan pelajar di kolej berkenaan berpunca perselisihan faham antara si
mati dengan rakannya berkaitan isu kehilangan duit.
Kisah sedih yang menimpa Muhd. Nazmie Aizat Muhd. Narul Azwan itu jelas meruntun hati seluruh rakyat Malaysia. Ramai yang geram dan ramai juga yang melemparkan kata-kata sumpah seranah kepada si pelaku.
Bagi mereka, kejadian buli termasuk memukul, menghukum ataupun menyeksa orang lain tidak sepatutnya berlaku di sebuah asrama pendidikan milik kerajaan.
Melihat kepada komen-komen ibu bapa di media sosial, ramai juga yang mula skeptikal untuk menghantar anak mereka ke asrama.
Ada yang menyuarakan kebimbangan dan ramai juga yang meluahkan rasa takut. Antara yang dibangkitkan adalah mengenai isu keselamatan.
Hakikatnya, kisah pembulian di asrama bukanlah kisah baharu. Ia bukan hanya berlaku di peringkat sekolah, kolej mahupun universiti, malah budaya itu turut menjadi isu di kem-kem latihan.
Buli itu bukan lagi sebuah tradisi sosial yang perlu dibudayakan kerana kesannya sangat bahaya dan boleh mengakibatkan kematian.
Apa yang pasti, kisah hitam yang berlaku ke atas Muhd. Nazmie Aizat perlu dinoktahkan segera. Kita tidak mahu ada lagi pelajar yang menjadi mangsa selepas ini.
Sebagai sebuah negara yang mempunyai sistem pendidikan yang berstruktur, kejadian pergaduhan, penderaan dan budaya buli seharusnya dapat dibendung dengan berkesan.
Ia perlu ditangani dengan pelbagai pendekatan bagi memberi keyakinan bahawa asrama itu adalah tempat paling selamat untuk para pelajar.
Dalam hal ini, pihak berwajib mungkin perlu sentiasa turun padang dan melihat sendiri perjalanan harian para pelajar yang berada di asrama.
Bentuk satu sistem yang membolehkan kegiatan para pelajar dipantau.
Pengetua, pengarah kolej, guru-guru termasuk warden juga perlu memainkan peranan. Mereka adalah ibu dan bapa kepada anak-anak yang berada di asrama.
Di akhirnya, tiada siapa yang ‘menang’ dalam kes buli ini. Ibu bapa mangsa akan terus meratapi kehilangan anak tersayang mereka. Dan di satu pihak lagi, beban besar terpaksa dipikul saat melihat anak kandung diheret ke muka pengadilan.
Paling penting, ibu bapa perlu menggalas tanggungjawab untuk membentuk anak-anak sejak dari rumah lagi.
Biarlah anak-anak yang dihantar ke asrama kelak adalah manusia yang berhati mulia, dan bukannya manusia pendendam dan berperangai pembuli.














