fbpx

Malaysia mula langkah kanan di BAMTC

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia mengetuai cabaran Malaysia menewaskan Emiriyah Arab Bersatu (UAE) 5-0 pada Kejohanan Badminton Berpasukan Campuran Asia (BAMTC) di Dubai hari ini.

KUALA LUMPUR – Malaysia bermula garang pada Kejohanan Badminton Berpasukan Campuran Asia (BAMTC) di Dubai, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) selepas mudah menjinakkan pasukan tuan rumah 5-0 dalam aksi sulung Kumpulan B sebentar tadi.

Keputusan itu dianggap permulaan positif buat skuad negara yang meletakkan sasaran mara ke separuh akhir bagi memburu slot automatik ke saingan Piala Sudirman 2023 di Suzhou, China Mei depan.

Pada pertemuan menentang UAE di Dubai Exhibition Centre, perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia memulakan cabaran Malaysia dengan menghadiahkan mata pertama apabila menewaskan Bharath Lateesh 21-12, 21-15 meskipun berdepan tentangan sengit di set kedua.

Kemudian, giliran Goh Jin Wei meletakkan Malaysia 2-0 di hadapan selepas juara remaja dunia dua kali itu mudah membenam cabaran Madhumitha Sundarapandian 21-0, 21-7 dalam acara perseorangan wanita.

Beregu lelaki, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin terus menambah derita pasukan Timur Tengah itu apabila menang 21-11, 21-13 ke atas Dev Ayyappan-Dhiren Ayyappan dalam tempoh 25 minit untuk mata ketiga Malaysia, sekali gus menutup ruang buat UAE melakar kebangkitan.

Kemenangan yang dilakar rakan sepasukan lain terus membakar semangat beregu wanita, Pearly Tan-M. Thinaah untuk meletakkan Malaysia selesa mendahului 4-0 selepas menewaskan Sanika Dhawan Gurav-Taabia Khan 21-9, 21-8.

Hasrat UAE untuk sekurang-kurangnya mencuri satu mata menerusi acara beregu campuran tidak kesampaian apabila Tan Kian Meng-Lai Pei Jing melengkapkan kemenangan Malaysia selepas menang 21-10, 21-9 ke atas Dev Vishnu-Aleena Qathun.

Bagi aksi kedua Kumpulan B esok, Malaysia dijadualkan bertemu Kazakhstan sebelum berdepan cabaran sebenar menentang naib juara acara berpasukan campuran Sukan Komanwel Birmingham 2022, India Jumaat nanti. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI