BAGAI menelusuri terowong masa! Itu rasukan pertama melintas minda sebaik sahaja deretan lagu New Boyz yang menjadi siulan sejak 1999 berkumandang di Stage 1 Theatre, Petaling Jaya Performing Arts Centre (PJPAC), Bandar Utama, Jumaat lalu.
Satu demi satu satu karya diperdengarkan band yang pernah menjadi kegilaan ramai sejak akhir era 19990-an yang membawa mereka membolosi pentas hiburan Indonesia, Singapura dan Brunei, semuanya menyingkap nostalgia.

Tidak hairan apabila konsert New Boyz Sejarah Mungkin Berulang yang direalisasikan selepas kali terakhir beraksi di pentas besar sekitar lapan tahun lalu tersebut turut menyambut kehadiran peminat tegar dari negara jiran.
Sorakan yang bergema tidak ubah bagaikan berada di sebuah stadium gah sedangkan hakikatnya kapasiti lokasi persembahan hanya mampu memuatkan 750 penonton pada satu masa.
Melihat sambutan hangat peminat tegar, selain katalog lagu popular daripada enam album studio mereka, jelas potensi New Boyz untuk beraksi dalam konsert berskala lebih besar akan datang.

Apatah lagi tiket bagi persembahan dua malam baru-baru ini licin disambar peminat tidak sampai 24 jam kaunter jualan online dibuka, membuktikan aura band itu kental seperti 24 tahun lalu.
Memanaskan PJPAC, Cuba-Cuba daripada album pertama disusuli Iye Iye Iyo, Kejora dan Hiasan Dalaman, Tomok selaku vokalis mengakui tidak mampu menahan sebak saat impian bersatu dalam sebuah konsert akhirnya dapat direalisasikan.
Selain Tomok atau Shah Inderawan Ismail, 38, New Boyz turut menampilkan aksi bertenaga rakan lain termasuk Jay, Lan, Zimi, Afiez, Zack dan Ristoe.
Repertoire persembahan turut menyaksikan alunan lagu Cinta Dicintai, Masih Ada Ruang, Putus dan SMS yang rata-rata mendapat sing along tanpa gagal.
Bagai tidak terasa ada dalam kalangan seleksi dendangan sudah lebih dua dekad terhasil, namun hingga kini masih kuat melekat dalam memori.
Menyaksikan New Boyz seumpama menyelak satu demi satu helaian diari zaman remaja yang sarat memori suka duka.
Boleh dikatakan peminat tegar New Boyz leka dibuai nyanyian yang mengimbas memori zaman persekolahan hingga jelas terlihat keterujaan mereka pada setiap lagu.
Tomok pula bijak mengambil kesempatan bergurau dan mengusik penonton, sekali gus menyuntik kemeriahan.
“Andai tiada aral memang kami merancang mengadakan konsert bersempena sambutan ulang tahun ke-25 pada 2024 yang tentu saja di lokasi lebih besar,” ujar Tomok sepert janji buat peminat.

Pujian harus dilayangkan buat Tomok dan pasukan yang berjaya meninggalkan impak serta 1,001 pengalaman manis buat khalayak.
Berdasarkan aura malam tersebut, New Boyz selayaknya beraksi dalam gelanggang lebih besar sekurang-kurangnya lokasi yang memuatkan dengan 2,500 penonton.
Momentum konsert turut dipadatkan dengan segmen akustik menerusi Norkia, Hanya Tinggal Sejarah, Qiyam, Khilaf dan Ku Abadi Selamanya.
Meraung yang disifatkan mereka mempunyai nilai sentimental selain dendangan berhantu, Sejarah Mungkin Berulang yang dipilih mengakhiri persembahan bagai enggan membuatkan penonton bangun dari kerusi.
Melihat keterujaan peminat terutama yang membuat kejutan hadir mengenakan baju sekolah sebagai simbol imbas kenangan lampau, membuktikan New Boyz yang kini tumbuh menjadi ‘bapa-bapa’ bukan kumpulan biasa-biasa.

















