fbpx

Pelajar bebas kritik, tegur kerajaan- Anwar Ibrahim

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar pada Majlis Penyerahan Sumbangan Dana Pelajar Antarabangsa AbuSulayman di UIAM, Gombak. - Foto oleh SHIDDIEQIIN ZON / KOSMO!

GOMBAK – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membuka ruang kepada mahasiswa di universiti awam mahupun swasta sekiranya mempunyai sebarang kritikan mahupun teguran kepada kepemimpinannya dan kerajaan.

Anwar berkata, mahasiswa juga dibenarkan berbuat demikian dalam kampus masing-masing, dengan syarat menyatakan segala pandangan mereka secara tidak melampaui batas.

“Kita buka ruang supaya universiti lebih segar memberikan pandangan melainkan hal-hal mencerca, perkauman atau fahaman agama yang melampau.

“Yang lain itu dibebaskan termasuk teguran atau kritikan terhadap saya atau kerajaan,” katanya kepada pemberita di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), di sini, hari ini.

Beliau hadir bagi menyaksikan majlis penyerahan sumbangan dana tambahan berjumlah RM1.29 juta untuk Tabung Pelajar Antarabangsa Abu Sulayman (AISF) yang berlangsung di UIAM, Gombak.

Dalam pada itu, Anwar memberitahu, kebenaran berkenaan sudah pun dimaklumkan kepada Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Khaled Nordin.

“Itu sudah disampaikan kepada Khaled dan juga Fadhlina dan mereka pun sudah buka ruang terutama Menteri Pendidikan Tinggi,” ujarnya.

Sementara itu, sejak dilancarkan pada tahun 2019, AISF yang diuruskan oleh IIUM Endowment Fund (IEF) difahamkan telah menyumbang sebanyak RM3.8 juta kepada UIAM.

Sehubungan itu, seramai 187 pelajar antarabangsa yang kurang berkemampuan dan memerlukan bantuan kewangan telah menerima manfaat daripada tabung AISF dan dana diagihkan dalam bentuk biasiswa, wang sara hidup, wang kecemasan dan perubatan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI