fbpx

Selesaikan isu pesakit tunggu lama – Sultan Selangor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sultan Sharafuddin bersama Tengku Permaisuri Norashikin berkenan melihat replika bangunan Hospital Tanjong Karang. -Foto oleh AFIQ RAZALI/KOSMO!

KUALA SELANGOR – Kementerian Kesihatan (KKM) disarankan melihat keperluan fasiliti kesihatan di Selangor secara menyeluruh terutama melibatkan proses menunggu yang lama di hospital.

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah, lebih tujuh juta rakyat negeri ini memerlukan banyak fasiliti kesihatan dengan kemudahan peralatan terkini.

Tegas baginda, rakyat ketika ini terpaksa menunggu lama di Bahagian Kecemasan kospital sebelum dimasukkan ke dalam wad kerana ramai pesakit di klinik kesihatan.

“Masa menunggu untuk pembedahan dan rawatan lanjut juga mengambil masa berbulan-bulan.

“Oleh itu, beta memohon agar kelengkapan hospital dan klinik kesihatan perlu diutamakan manakala jumlah doktor serta jururawat juga harus ditambah,” titah baginda ketika berucap merasmikan Hospital Tanjong Karang baharu di sini, hari ini.

Turut berangkat, Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin dengan diiringi Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Pembinaan hospital yang diluluskan pada  2013 di bawah Rancangan Malaysia ke-10 itu di atas tanah seluas 16.1 hektar dengan kos keseluruhan berjumlah RM269 juta.

Dalam pada itu, Sultan Sharafuddin turut berharap KKM peka dengan sosio politik global dan bersiap siaga dengan sebarang kemungkinan bagi memastikan pengurusan hospital berjalan lancar.

Titah baginda, Malaysia menghadapi isu kekurangan bekalan ubat kritikal tahun lalu akibat penutupan dan sekatan oleh kerajaan China dan masalah perang di Rusia-Ukraine.

“Kerajaan terpaksa menyalurkan bekalan ubat selsema dan batuk kepada fasiliti kesihatan swasta kerana bekalan amat berkurangan di pasaran.

“Mengambil iktibar isu itu, kementerian perlu meningkatkan keselamatan bekalan perubatan kerana Malaysia amat bergantung kepada produk farmaseutikal yang diimport,” titah baginda.

Sultan Sharafudin menjelaskan perkhidmatan kesihatan di hospital perlu mempunyai sistem pengurusan baik dan cekap supaya dapat menambah kapasiti perkhidmatan kesihatan di Selangor.

“Ini juga menjurus kepada penyelenggaraan hospital supaya peralatan dan infrastruktur sentiasa dalam keadaan baik untuk memberikan perkhidmatan berkualiti tinggi kepada rakyat.

“Bagi pengurusan fasiliti, penyenggaraan bangunan secara berjadual dan pemantauan fasiliti  berkala dapat meningkatkan jangka hayat bangunan hospital selain memberi faedah berterusan kepada penduduk setempat,” titah baginda. -KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI