fbpx

Bau pelik bawa penemuan plastik berisi daun ketum

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
LORI membawa muatan ketum disita ketika pemeriksaan di Kilometer 4.7, Jalan Raya Timur-Barat, Gerik Ahad lalu.-IHSAN JPJ

GERIK – Bau pelik daripada lori yang disita Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perak membawa penemuan lebih 30 plastik hitam berisi daun ketum seberat 3,000 kilogram (kg) pada Isnin lalu.

Ketua Bahagian Penguatkuasa JPJ Perak, Mir Khairol Hafizal Mir Idris berkata, lori itu ditahan Ahad lalu ketika pemeriksaan dijalankan di Kilometer 4.7, Jalan Raya Timur-Barat pada pukul 10.30 malam.

Katanya, pemeriksaan mendapati pemandu lori tidak memiliki sebarang lesen memandu dan dia telah diarahkan untuk memandu kenderaan itu masuk ke kawasan Stesen Penguatkuasa Gerik.

“Semakan lanjut ke atas kenderaan berkenaan mendapati nombor casis dan nombor enjin lori menggunakan nombor pendaftaran disyaki palsu.

“Oleh itu, tindakan menyita lori itu diambil di bawah Seksyen 108(1) APJ 1987 selain saman JPJ(P)22 dikeluarkan ke atas pemandu kerana memandu kenderaan tanpa memiliki lesen memandu,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, semasa siasatan dijalankan, ‘delivery order’ yang diserah pemandu adalah barangan runcit untuk penghantaran ke kedai-kedai runcit di sekitar Kelantan.

Bagaimanapun, katanya, taktik lori berselindung di sebalik penghantaran barangan runcit itu terbongkar setelah pegawai dan anggota Rela bertugas terhidu bau pelik pada lori tersebut.

Katanya, kejadian itu kemudian telah dimaklumkan kepada Ketua Stesen Penguatkuasa JPJ Gerik dan pemeriksaan ke atas lori segera dijalankan.

“Anggota bertugas telah membuka kanvas lori dan mendapati lebih dari 30 bungkusan hitam berisi daun ketum dengan berat kasar dianggarkan 3,000kg.

“Kes itu telah dirujuk kepada ketua stesen dan laporan polis juga telah di buat di Balai Polis Bersia, Gerik,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI