fbpx

Anwar saksi empat perjanjian syarikat Malaysia, Thailand

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar sewaktu menghadiri majlis menandatangani empat perjanjian antara syarikat Malaysia dan Thailand di Bangkok, hari ini.

PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini telah menyaksikan pemeteraian empat perjanjian di antara syarikat-syarikat Malaysia dan Thailand meliputi aspek pembangunan industri tenaga dan ekonomi digital.

Menerusi perkongsian di laman Facebooknya, Anwar berkata, antara syarikat yang terlibat adalah syarikat utiliti negara, Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Beliau berkata, perjanjian tersebut turut melibatkan anak syarikat TNB iaitu TNB Renewables Sdn. Bhd. dan TNB Power Generation Sdn. Bhd. yang telah mengadakan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) dengan tiga syarikat tenaga di Thailand bagi menyokong sektor industri tenaga di kedua-dua negara.

“Sementara itu, Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) selaku agensi peneraju ekonomi digital di bawah seliaan Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) pula menandatangani MoU bersama Digital Economy Promotion Agency (DEPA), bagi mengukuhkan kerjasama ekonomi digital di antara Malaysia dan Thailand,”ujarnya.

Terdahulu, Anwar mengadakan pertemuan bersama Perdana Menteri Thailand, Prayut Chan-o-cha di Government House, Bangkok, Thailand.

Jelas beliau, pertemuan itu memberi peluang kepada kedua-dua pihak untuk membincangkan kerjasama sedia ada sambil meneroka pelbagai bentuk kerjasama baharu bagi meningkatkan lagi hubungan dua hala Malaysia-Thailand.

“Kami berdua turut disertai para delegasi daripada kedua-dua negara.

“Kami juga berpeluang membincangkan pelbagai isu lain melibatkan sempadan negara, proses perdamaian di Selatan Thai dan isu serantau yang mempunyai kepentingan bersama,” ujarnya.

Semalam, Wisma Putra berkata, lawatan sulung Anwar ke Thailand sebagai ketua kerajaan bakal membuka peluang baharu dalam pelbagai bidang antara kedua-dua negara.

Antara peluang baharu itu meliputi kerjasama ekonomi, pembangunan kawasan sempadan serta projek kesalinghubungan di kawasan sempadan darat kedua-dua negara jiran ini.

Selain itu, Anwar juga akan mengadakan satu sesi libat urus dengan rakyat negara ini yang telah lama berada di Thailand dan membentuk kelompok diaspora Malaysia di Bangkok. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI