fbpx

Mahkamah Tinggi Kota Bharu benarkan permohonan batal dua petisyen Parlimen Gua Musang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Takiyuddin (dua dari kanan) bersama barisan peguam yang mewakili Mohd. Azizi semasa sebutan kes Petisyen PRU15 Parlimen Gua Musang di Mahkamah Tinggi Kota Bharu, hari ini. - Foto oleh ROSALWANI CHE SOH / KOSMO!

KOTA BHARU – Mahkamah Pilihan Raya di sini membenarkan pempetisyen, Mohd. Azmi Mahmood selaku wakil kepada calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah yang mencabar keputusan PIlihan Raya Umum ke-15 (PRU15) untuk membatalkan petisyen terhadap responden kedua dan ketiga.

Hakim Mahkamah Tinggi Kota Bharu, Datuk Roslan Abu Bakar yang bersidang sebagai Hakim Pilihan Raya membuat keputusan itu selepas mendengar hujahan peguam, Datuk Seri Takiyuddin Hassan mewakili responden pertama iaitu Ahli Parlimen Gua Musang, Datuk Mohd. Azizi Abu Naim.

Mahkamah turut mendengar hujahan Peguam Persekutuan, Ahmad Hanir Hambaly yang mewakili Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Ab. Fatah Hasbullah sebagai responden kedua dan responden ketiga, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Datuk Mohd. Hafarizam Harun yang mewakili Mohd. Azmi berkata, pihaknya tidak mahu meneruskan petisyen terhadap responden kedua dan ketiga dengan menawarkan kos sebanyak RM5,000.

Ahmad Hanir bagaimanapun memohon kos untuk membatalkan petisyen itu sebanyak RM10,000 yang dirasakan munasabah.

Ahmad Hanir dalam hujahannya berkata, menerusi petisyen itu, pempetisyen mendakwa berlaku pelanggaran yang dikatakan satu tempat tidak wujud sebagai saluran mengundi iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Felda Chiku.

Selepas mendengar semua hujahan, Roslan membenarkan permohonan untuk menarik balik petisyen bagi responden kedua dan ketiga yang dinyatakan jelas bahawa kedua-duanya tidak membabitkan responden pertama.

“Sehubungan itu, petisyen pilihan raya bagi responden kedua dan ketiga dibatalkan dengan berkongsi kos sebanyak RM6,000,” katanya.

Mahkamah juga menetapkan 26 Februari depan untuk keputusan awal bantahan petisyen berkenaan.

Takiyuddin ketika ditemui pemberita berkata, beliau yang mewakili responden pertama yang merupakan Ahli Parlimen Gua Musang, Mohd. Azizi mengakui terkejut apabila pempetisyen menarik balik petisyen terhadap responden kedua dan ketiga. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI