fbpx

Kerajaan negeri Perak lancar Bantuan Sara Diri, Bantuan Kecemasan Mahasiswa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Saarani (empat) dari kiri bergambar dengan wakil syarikat berkaitan kerajaan yang menyumbang kepada inisiatif TCS di Pejabat Menteri Besar Perak di Ipoh hari ini.

IPOH – Kerajaan negeri Perak hari ini melancarkan Bantuan Sara Diri Mahasiswa dan Bantuan Kecemasan Mahasiswa, iaitu salah satu program di bawah inisiatif Tuisyen Cikgu Saarani (TCS) dengan peruntukan sebanyak RM2 juta.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, peruntukan itu merupakan peningkatan sebanyak RM1.4 juta berbanding hanya RM600,000 pada tahun lalu.

“Ia meliputi peruntukan sebanyak RM1.5 juta untuk program Bantuan Sara Diri Mahasiswa dan RM0.5 juta bagi Bantuan kecemasan Mahasiswa.

“Bantuan Sara Diri Mahasiswa terbahagi kepada dua fasa iaitu yang pertama akan bermula pada hari ini sehingga 10 Mac 2023 manakala fasa kedua pula pada Ogos atau September ini,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Saarani berkata, bantuan itu melibatkan pemberian antara RM500 hingga RM2,000 kepada mahasiswa sepenuh masa semester kedua dan ke atas bagi peringkat diploma, ijazah sarjana muda, ijazah sarjana dan ijazah doktor falsafah di institusi pengajian tinggi yang diiktiraf Jabatan Perkhidmatan Awam dan Agensi Kelayakan Malaysia.

Pada masa sama, beliau berkata, Bantuan Kecemasan Mahasiswa pula merupakan inisiatif bagi membantu mahasiswa yang ditimpa musibah atau bencana dengan bantuan tidak melebihi RM5,000, bergantung kepada kes-kes kecemasan tertakluk kepada terma dan syarat.

“Semua mahasiswa anak-anak Perak yang berkelayakan boleh memohon dan mengisi borang di pautan, www.eheyns.com.my/bantuan-khas-mahasiswa,” ujarnya.

Beliau turut mengumumkan bahawa Kerajaan negeri Perak akan meneruskan program Bantuan Makanan Pelajar iaitu satu lagi program di bawah inisiatif TCS dengan peruntukan sebanyak RM2.8 juta yang bakal memanfaatkan 28,281 pelajar dari 256 buah sekolah seluruh negeri.

“Ia membabitkan 24,694 calon bagi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), 2,484 calon Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM); 75 orang calon Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan 28 calon peperiksaan Sijil Vokasional Malaysia (SVM).

“Melalui program ini, kesemua calon peperiksaan terbabit akan diberikan bantuan makan tengah hari selama 20 hari iaitu ketika menghadiri kelas tambahan atau kelas intensif sehinggalah sepanjang hari peperiksaan,” katanya,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI