fbpx

Penganggur dipenjara lima tahun mengaku salah bawa pelbagai senjata berbahaya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd Azmil (depan) dijatuhkan hukuman penjara lima tahun di Mahkamah Sesyen Kuala Pilah, di sini, atas tuduhan membawa pelbagai senjata berbahaya dalam satu pemeriksaan polis di Bandar Seri Jempol, awal bulan ini. -Foto NOR AINNA HAMZAH

KUALA PILAH – Seorang penganggur dijatuhi hukuman penjara lima tahun di Mahkamah Sesyen Kuala Pilah, di sini, atas tuduhan membawa pelbagai senjata berbahaya dalam satu pemeriksaan polis di Bandar Seri Jempol, awal bulan ini.

Tertuduh, Mohd Azmil Haidir, 37, yang menetap di sebuah felda di Jempol membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Norma Ismail.

Berdasarkan pertuduhan, pada 1 Februari lalu kira-kira pukul 12.15 tengah malam di Gerai Hadapan sebuah stesen minyak Bandar Seri Jempol telah didapati dalam milik tertuduh sebilah keris bersarung kayu warna coklat, sebilah pisau bersarung warna hitam, sebilah pisau spring warna merah hitam dan sebilah pisau lipat warna biru, tanpa maksud sah.

Oleh yang demikian, tertuduh telah melakukan suatu kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 7(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.

Tertuduh boleh dihukum penjara tidak kurang daripada lima tahun dan tidak melebihi sepuluh tahun.

Berdasarkan fakta kes pada tarikh, masa dan lokasi yang sama, sepasukan polis dari Bandar Seri Jempol telah menahan tertuduh yang dalam keadaan mencurigakan berhampiran motosikalnya.

Pemeriksaan dalam beg sandang tertuduh telah menjumpai pelbagai jenis senjata berbahaya.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Amirul Noor Hashimi, manakala, tertuduh tidak diwakili peguam. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI