fbpx

3 pelajar IPT Swasta ditahan miliki ganja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ganja yang dirampas dalam serbuan di sebuah IPT Swasta, Sabtu lalu.

SUBANG JAYA – Tiga lelaki tempatan ditahan dalam dua serbuan berasingan di sebuah asrama Institut Pengajian Tinggi (IPT) Swasta di Bandar Sunway, Sabtu lalu, kerana memiliki dadah.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, serbuan pertama dijalankan pada pukul 12.15 pagi dan pihaknya telah berjaya menahan dua suspek di lokasi berkenaan.

“Kita merampas satu bekas plastik berisi satu paket plastik lutsinar yang mengandungi ketulan mampat dedaun kering disyaki dadah jenis ganja seberat 34.3 gram (g).

“Dalam serbuan kedua yang dilakukan pada pukul 12.30 pagi, seorang lagi suspek turut ditahan apabila polis menjumpai satu bekas plastik berpenutup hijau yang mengandungi tiga ketulan dadah jenis sama seberat 868.7g,” jelasnya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Wan Azlan, ketiga-tiga suspek yang ditahan adalah merupakan pelajar di IPT berkenaan dan berusia lingkungan 20an.

“Hasil ujian saringan awal air kencing terhadap semua suspek dapati positif dadah jenis delta-9-tetrahydrocannabinol (THC) dan tidak memiliki sebarang rekod lampau.

“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 39B akta yang sama,” jelasnya.

Sehubungan itu, permohonan reman di bawah 117 Kanun Prosedur Jenayah ke atas semua suspek telah dijalankan di Mahkamah Shah Alam.

“Mahkamah telah membenarkan permohonan reman sehingga hari ini bagi kes pertama manakala bagi kes kedua, permohonan reman adalah sehingga Jumaat,” katanya. -KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI