fbpx

2 juta pengunjung banjiri Kuil Sri Subramaniar Swamy

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Suasana penganut Hindu menaiki tangga menuju ke kuil dalam tinjauan sempena sambutan Hari Thaipusam di Kuil Sri Subramaniar Swamy di sini, hari ini. Gambar MUHAMAD IQBAL ROSLI

GOMBAK – Hampir juta pengunjung telah membanjiri Kuil Sri Subramaniar Swamy, Batu Caves, di sini, sepanjang sambutan Thaipusam yang bermula sejak dua hari lalu.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed berkata, ekoran kehadiran ramai pengunjung tersebut, berlaku kesesakan lalu lintas di lokasi tertentu namun masih dalam keadaan terkawal.

“Kita menganggarkan hampir dua juta pengunjung telah membanjiri Kuil Sri Subramaniar Swamy. Susulan itu, kesesakan lalu lintas pasti berlaku kerana ramai yang menuju ke lokasi berkenaan.

“Setakat ini, pihak polis telah mengeluarkan sebanyak 63 saman lalu lintas atas pelbagai kesalahan yang dilakukan pengguna jalan raya,” ujarnya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Dalam pada itu, beliau juga menasihati para pengunjung agar tidak menghalang laluan utama sehingga menghalang laluan kenderaan lain.

“Kita minta kerjasama pengunjung untuk meletakkan kenderaan di tempat parkir yang disediakan kerana masih ada segelintir pengunjung yang masih berdegil untuk mematuhi peraturan berkenaan.

“Kita menggunakan budi bicara namun sekiranya perbuatan itu sehingga mengganggu ketenteraman awam, kita terpaksa juga keluarkan saman terhadap mereka yang enggan patuh arahan polis,” katanya.

Beliau memaklumkan, sebanyak tujuh laluan ditutup sempena perayaan Thaipusam iaitu di persimpangan lampu isyarat Kampung Melayu Batu Caves, susur dari arah Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) ke Kuil Batu Caves dan Jalan Batu Caves lama ke pintu utama Kuil Batu Caves.

Seterusnya, di simpang tiga lampu isyarat hadapan stesen minyak Shell Batu Caves, simpang tiga Jalan SBC 8, Jalan lama Batu Caves, susur keluar MRR2 dari Sri Gombak hala susur Jalan Perusahaan Batu Caves dan Jalan Perusahaan menghala ke Kuil Batu Caves.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI