PETALING JAYA – “Rumah saya bergegar seperti berlaku gempa bumi sebelum terdengar jeritan minta tolong berulang kali.”
Demikian cerita penduduk berhubung kejadian kebakaran yang mengorbankan nyawa seorang lelaki di tingkat 21 sebuah pangsapuri di Flora Damansara di sini malam kelmarin.
Wanita yang mahu dikenali sebagai Aisyah, 38, berkata, ketika kejadian, rumahnya di tingkat bawah bergegar disusuli dengan bunyi letupan kuat.
“Tidak lama selepas itu, saya dengar bunyi jeritan minta tolong berkali-kali selain bunyi hentakan pintu lalu saya segera berlari ke tingkat.
“Ketika kejadian, ada beberapa jiran cuba membantu dengan menendang pintu, tetapi api marak menyebabkan kami tidak dapat masuk ke dalam rumah.
“Sementara tunggu bomba sampai, kami cuba memadam api dengan menggunakan air di tingkat 10 kerana air di tingkat 21 perlahan dan tiada alat pemadam api,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian semalam.
Menurut Aisyah, berdasarkan maklumat jiran, mangsa masih bujang dan menyewa bersama beberapa penghuni lain.

Ketika kejadian, rakan serumah mangsa keluar membeli makanan, manakala mangsa pula tidur di dalam bilik. Difahamkan, api bermula dari dapur yang terletak di pintu masuk sekali gus menyebabkan mangsa sukar untuk menyelamatkan diri.
Tambahnya, kejadian kebakaran kelmarin adalah yang ketiga berlaku di pangsapuri sama.
“Pihak pengurusan harus lakukan sesuatu. Kami bayar yuran penyelenggaraan, tetapi lif tidak dibaiki dan ciri-ciri keselamatan pun tidak diambil berat. Kami berasa trauma,” katanya,
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, mayat mangsa yang berusia dalam lingkungan 30-an ditemui tertiarap berdekatan pintu masuk dipercayai mahu menyelamatkan diri.

“Setakat ini, identiti mangsa masih belum diketahui. Pemeriksaan mendapati 40 peratus tubuh mangsa terbakar. Bomba sukar memadam api kerana tekanan air rendah.
“Forensik mengambil sampel cebisan baju dan kulit mayat untuk tindakan lanjut,” katanya.
Kes diklasifikasi sebagai mati mengejut dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat.














