fbpx

Pemandu lori maut nahas tiga kenderaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KEMALANGAN tiga kenderaan yang mengorbankan seorang pemandu lori di Kilometer 352.1, Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan dekat Tapah hari ini.- IHSAN PDRM

TAPAH – Seorang pemandu lori terkorban dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 352.1, Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan di sini pagi tadi.

Dalam kejadian sekitar pukul 5.20 pagi itu, mangsa, R. Nantha Kumar, 29, yang memandu lori muatan ayam segar maut di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintenden Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, kemalangan berlaku membabitkan lori dipandu mangsa dan sebuah lori muatan kotak dan treler muatan sayur.

Katanya, ketika kejadian, ketiga-tiga kenderaan dalam perjalanan dari arah Ipoh menghala ke Kuala Lumpur.

“Apabila sampai di tempat kejadian, lori dipandu mangsa telah hilang kawalan dan melanggar belakang lori muatan kotak. Selepas perlanggaran pertama, pemandu lori muatan kotak itu telah mengelak ke kiri jalan sebelum melanggar pula bahagian hadapan sebelah kiri treler muatan sayur.

“Akibat perlanggaran itu pemandu lori ayam segar mengalami kecederaan pada bahagian dalaman dan disahkan maut di tempat kejadian manakala dua pemandu lain masing-masing berusia 44 dan 29 tahun tidak cedera,” katanya.

Menurut beliau, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tapah untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarga.

“Siasatan mendapati punca kemalangan akibat lori dipandu mangsa hilang kawalan dan melanggar kenderaan lain. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI