KUALA LUMPUR – Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak menerima sebarang wang daripada dana pakej rangsangan ekonomi bernilai RM92.5 billion seperti didakwa sesetengah pihak.
Bekas Perdana Menteri itu berkata, dasar ditetap oleh Bersatu bahawa setiap sumbangan kepada parti mesti dimasukkan ke dalam akaun parti.
“Saya tegaskan tidak ada dana politik, sumbangan dimasukkan ke dalam akaun peribadi saya atau pegawai parti saya atau mana-mana organisasi yang saya mempunyai kepentingan di dalamnya atau yayasan yang saya taja dan sebagainya.
“Langsung tiada dan saya tahu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah membuat siasatan kepada badan-badan seperti itu termasuklah parti Bersatu bahagian Pagoh,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.
Beliau turut menegaskan perkara itu telah disemak oleh SPRM dan pihaknya percaya siasatan kepada penyata akaun Bersatu akan mendapati tiada wang berbilion ringgit di dalam akaun parti tersebut.
“Malahan kita telahpun menyerahkan beberapa akaun yang telah diaudit, telah dibentangkan dalam perhimpunan agung parti kita. Penyataan oleh auditor tiada apa-apa perkara luar biasa. Semuanya betul, akaun 2021 pun telah diaudit dan tiada luar baisa.
“Akaun 2022 akan kita bentangkan dalam perhimpunan agung bulan depan, harapan kita juru audit boleh buat kerja untuk menyelesaikan perkara itu dengan adanya kerjasama dengan pihak SPRM,” jelasnya.
Tambahnya, audit akaun-akaun itu semuanya teratur mengikut kehendak-kehendak oleh pendaftar pertubuhan dan prosedur yang berkaitan dengan auditan akaun-akaun pertubuhan yang ada dalam Bersatu.
Susulan itu katanya, Bersatu juga akan menghantar surat kepada SPRM hari ini supaya perintah pembekuan akaun Bersatu dapat dibatalkan.
“Kami sebagai pertubuhan politik yang penting dan besar ini tiada duit nak bayar gaji pentadbiran bukan saja untuk sebulan tetapi untuk sepanjang masa.
“Kalau mereka kata untuk tiga bulan, susah jika pegawai saya tiada gaji nak ‘maintain’ pejabat dan sebagainya. Ia memberi kesan kepada kelicinan pengurusan parti dan juga peranan kita sebagai parti yang penting dalam negara dan Perikatan Nasional,” tambahnya.
Terdahulu, SPRM mengesahkan telah membekkanu akaun pari Bersatu bagi menjalankan siasatan berhubung dakwaan salah laku dilakukan pemimpin parti itu.
Pengesahan itu dibuat Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki yang mana beliau menegaskan pembekuan akaun parti politik tersebut akan dijalankan sehingga siasatan selesai. – KOSMO! ONLINE














