fbpx

Bersantai, lakukan aktiviti lasak di ladang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MEMANAH merupakan salah satu aktiviti yang ditawarkan di Nabila Agrofarm.

LARI daripada kesibukan kota demi mencari kedamaian serta ketenangan setelah penat bekerja pasti satu perkara yang menyeronokkan.

Tidak perlu terlalu jauh dan kurang dari sejam dari Lembah Klang, terdapat satu tarikan berkonsepkan agro pelancongan yang semakin dikenali.

Terletak 15 minit dari pusat bandar Seremban, Negeri Sembilan, Nabila Agrofarm di Kampung Pantai pasti menggamit ketenangan kepada mereka yang berkunjung ke sana.

Pengurusnya, Mohamad Hafiz Sharuddin berkata, setelah dua tahun tidak dapat beroperasi disebabkan pandemik Covid-19, dia dapat menarik nafas lega selepas dibuka semula pada hujung 2021.

Menurutnya, terdapat pelbagai aktiviti menarik disediakan buat pengunjung di situ seperti berkuda, memanah, berbasikal, menunggang kenderaan lasak pelbagai bentuk permukaan bumi (ATV), melawat taman mini haiwan dan menaiki train joyride.

“Kalau ikutkan, kami sudah mula beroperasi sejak 2017. Lokasi kami dikelilingi tumbuhan hijau dengan dilatari suasana kampung, sekali gus menawarkan pemandangan cukup indah buat pengunjung.

“Ia diusahakan di atas tanah seluas 20 hektar dan sesuai buat mereka yang tiada kampung, namun ingin merasai suasana menenangkan,” katanya.

Tambahnya, dia sendiri tidak pernah terfikir dan menyangka bahawa produk agro pelancongan yang diusahakannya bersama keluarga diterima baik ramai.

“Kami langsung tidak pernah terfikir untuk menjadikan perusahaan berasaskan pertanian dan ternakan sebagai produk pelancongan.

“Namun, apabila melihat pelancongan berkonsep agro kian diminati, kami cuba komersialkan tempat ini kepada orang ramai,” katanya.

Menurut Mohamad Hafiz lagi, apa yang menarik, Nabila Agrofarm tidak mengenakan sebarang bayaran masuk, melainkan jika pengunjung mahu melakukan aktiviti disediakan.

Jelasnya, bayaran untuk aktiviti dikenakan serendah RM3 bagi kanak-kanak dan RM10 untuk dewasa.

“Harga ditawarkan sangat berpatutan dan mungkin tidak ditawarkan di tempat lain.

“Jika pengunjung tidak mahu membuat apa-apa aktiviti, mereka boleh singgah ke kafe kami yang menawarkan pelbagai menu menarik.

“Sambil menjamu selera dan membasahkan tekak, pengunjung boleh santai-santai menyaksikan haiwan di taman mini disediakan,” tuturnya.

Dia berkata, pihaknya turut menawarkan pakej harga menarik untuk lawatan secara berkumpulan seperti sekolah, pusat pendidikan dan syarikat.

Mohamad Hafiz berkata, secara amnya, pengunjung yang hadir akan didedahkan mengenai pengetahuan berkaitan pertanian, penternakan dan perikanan.

Sementara itu, salah seorang pengunjung yang ingin dikenali sebagai Kamarul berkata, tempat tersebut sangat menyeronokkan dan dia juga berpeluang melakukan aktiviti lasak.

“Kunjungan kali pertama ini tidak hanya melihat haiwan ternakan yang disukai anak-anak, malah kami suami isteri sempat melakukan aktiviti lasak seperti trek rempuh halangan dan dusun race.

“Tidak setakat itu, di sini juga ada tapak perkhemahan buat pelawat yang ingin menginap. Kami juga ada bawa khemah sendiri untuk bermalam di sini,” katanya lagi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI