fbpx

AS perkukuh ketenteraan di Filipina

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tentera AS dan Filipina menjalani latihan ketenteraan bersama tahunan di sebuah pelabuhan di Casiguran, wilayah Aurora pada 15 Mei 2017. - AFP

WASHINGTON – Tentera Amerika Syarikat (AS) sedang berusaha untuk meluaskan aksesnya ke beberapa pangkalan baharu di Filipina dengan menumpukan sasaran ke arah China, sebagai sebahagian daripada peralihan posisi kuasa yang berterusan di rantau Indo-Pasifik, demikian menurut beberapa pegawai pertahanan AS seperti dilaporkan stesen penyiaran CNN.

Pengumuman terperinci dijangka dibuat dalam minggu ini ketika Setiausaha Pertahanan AS, Lloyd Austin bertemu dengan kepimpinan Filipina termasuk Presidennya, Ferdinand ‘Bong Bong’ Marcos Jr. dan Pemangku Setiausaha Pertahanan Negara itu, Carlito Galvez Jr.

Menurut laman berita GMA News Online, Austin tiba di Filipina malam kelmarin dan ia merupakan lawatan keduanya di negara tersebut selepas 2021. 

Peningkatan akses ke pangkalan tentera di Filipina akan memberi tentera AS kedudukan strategik di pinggir tenggara Laut China Selatan, kira-kira 322 kilometer (km) di selatan Taiwan.

Bagaimanapun, ia dilihat akan menimbulkan kemarahan China yang mendakwa sebahagian besar laluan laut yang menjadi pertikaian itu sebagai kedaulatan wilayahnya.

Kehadiran tentera AS di Filipina adalah sebahagian di bawah Perjanjian Kerjasama Pertahanan Dipertingkatkan (EDCA) yang ditandatangani pada 2014. Perjanjian tersebut membolehkan AS menggilirkan askar-askarnya ke pangkalan tertentu dan membina kemudahan untuk digunakan oleh kedua-dua negara.

Seorang pegawai kanan pertahanan AS berkata, terdapat perbincangan mengenai lokasi tambahan dan ia akan menjadi topik perbualan penting semasa lawatan Austin ke Filipina.

Presiden Filipina semasa lawatannya ke China sebelum ini mendesak hubungan ekonomi yang lebih erat bagi mengetepikan pertikaian wilayah di Laut China Selatan. Kedua-dua negara turut bersetuju untuk menguruskan perbezaan pendapat di laut tersebut.

Pada bulan November tahun lalu, Naib Presiden AS, Kamala Harris melawat bandar ibu kota, Manila dan membincangkan mengenai kemungkinan akses di lebih banyak pangkalan di Filipina.

Semasa lawatannya, Harris melawat pangkalan tentera di Pulau Palawan iaitu sebuah kawasan sempit yang lebih terkenal dengan pantainya di pinggir barat negara tersebut.

Pulau itu terletak berhadapan dengan Kepulauan Spratly, satu siri pulau-pulau kecil di Laut China Selatan dengan beberapa daripadanya telah menjadi pangkalan tentera China.

Lawatan Harris menghantar mesej yang jelas kepada Beijing bahawa Filipina semakin ‘hampir’ dengan AS sekali gus mengubah trend ketika di bawah presiden sebelumnya, Rodrigo Duterte. 

Manila dan Washington membina hubungan kukuh menerusi Perjanjian Angkatan Lawatan 1998 serta EDCA pada 2014.

Hubungan itu bagaimanapun tegang ketika pemerintahan Duterte yang mengugut untuk membatalkan perjanjian berkenaan, menjadikan lebih sukar untuk tentera AS mendapatkan akases ke Filipina. Ia bagaimanapun dipulihkan semula pada Julai 2021.

Namun kini, Marcos Jr. berusaha memperbaiki hubungan Manila dengan Washington, dan dalam masa sama mahu mengekalkan kestabilan dengan China yang merupakan rakan dagangan terbesarnya.

“Saya telah nyatakan banyak kali bahawa saya tidak melihat masa depan Filipina tanpa melibatkan AS dan ia datang daripada hubungan yang amat lama dengan negara itu,” kata beliau ketika bertemu dengan Harris pada November tahun lalu. – Agensi 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI