PETALING JAYA – Golongan ibu bapa kini terdesak mencari duit tambahan untuk menghadapi persiapan sesi persekolahan baharu, bulan Ramadan serta sambutan Hari Raya Aidilfitri pada Mac dan April ini yang memerlukan perbelanjaan besar.
Selepas sesi persekolahan baharu dibuka pada 20 Mac ini bagi negeri kumpulan B, umat Islam kemudian menyambut Ramadan yang dijangka jatuh pada 23 Mac ini sebelum meraikan Aidilfitri pada 22 April mengikut kalender hijrah.
Ia menyebabkan ramai ibu bapa terutama golongan B40 dan M40 yang mempunyai ramai anak terpaksa melakukan kerja sampingan, berjimat cermat dan mula mengumpul duit bagi menampung kos berganda ketiga-tiga persiapan penting itu.
Seorang pekerja swasta, Julia, 41, yang memiliki enam orang anak bersekolah berusia 8 hingga 15 tahun menyifatkan 2023 adalah tahun paling mencabar buat dirinya yang bergelar ibu tunggal.
Selain terpaksa berjimat cermat sebaik mungkin, dia juga terpaksa melakukan pekerjaan sampingan dalam bidang katering pada hujung minggu.
“Tahun ini memang struggle sungguh. Saya cuba berjimat sehabis mungkin dengan menyediakan bekal makanan untuk anak-anak bawa ke sekolah, saya juga cuba elak beli barang-barang yang bukan keperluan.
“Ramai ingat dengan gaji saya RM5,000 sebulan, hidup ini senang, tetapi mereka lupa sebagai ibu tunggal, semua tanggungan dan segala macam terletak di atas bahu saya seorang sahaja.
“Kalau senang, tak akan saya sanggup buat kerja katering di hujung minggu semata-mata nak tampung belanja dapur. Hujung minggu patutnya saya rehat selepas penat bekerja, tetapi kalau tak kerja, memang ‘nazak’,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Julia memberitahu, persiapan Back To School tahun ini mungkin dia hanya beli sepasang kasut, sehelai seluar untuk anak-anak lelaki dan tudung bagi anak-anak perempuan.
Katanya, beg sekolah pun hanya untuk anak-anak yang berada di tahap satu.
“Untuk persediaan lebaran pula, saya memilih untuk menggunakan baju raya tahun lepas sahaja berikutan ia masih dalam keadaan baik.
“Lain-lain keperluan rasanya tidak perlu sangat sebab yang penting keperluan anak-anak untuk masuk sekolah. Tak boleh raya sakan tahun ini, saya akan cuba untuk minimumkan perbelanjaan semampunya,” ujar Julia.
Seorang pemandu syarikat, Mohd. Ismail Hamdi, 45, berkata, hidup di kota besar dengan gaji RM3,000 sebulan bukanlah sesuatu yang mudah untuk membesarkan lima anak.
Turut mengakui tahun ini ramai ibu bapa runsing untuk merencanakan perbelanjaan bagi menghadapi tiga persiapan penting itu, Mohd. Ismail juga terpaksa mengambil pendekatan berjimat cermat sehabis boleh, tambahan pula kos hidup kini semakin tinggi.
“Duit simpanan pun tak lekat sebab ada saja yang perlu dibayar, belum masuk lagi kes-kes kecemasan. Tiada pilihan, untuk persiapan buka sekolah, sambut Ramadan dan raya, terpaksa guna dulu duit yang mana ada.
“Buku-buku pun kena beli dan ada bayaran persekolahan lain kena langsaikan untuk lima anak. Biasanya untuk persiapan sekolah, saya peruntukan minimum RM2,500 untuk lima anak. Untuk raya pula, RM500.
“Ada yang kata bulan puasa boleh jimat sebab tak makan minum, tetapi biasanya Ramadan banyak jual juadah menarik dan tentunya anak-anak saya yang sedang membesar ada keinginan masing-masing.
“Sebagai ayah, ada masa saya tak sampai hati nak abaikan permintaan mereka. Cuma saya cuba untuk tidak bermewah-mewah dan membazir, sekadar melepaskan keinginan anak-anak dan isteri,” ujarnya.
Seorang peniaga makanan, Rina, 45, yang memiliki dua anak yang masih bersekolah pula mengakui beban tahun ini lebih dirasai berikutan dalam masa sama perlu mengeluarkan modal besar bagi menjalankan perniagaan sepanjang Ramadan.
“Sewa tapak bazar Ramadan pun agak tinggi sekarang, namun saya harap dapat pulangan berbaloi untuk saya tampung keperluan anak-anak dan buat sedikit persiapan raya. Cuma tahun ini mungkin baju raya sepasang seorang, biasanya dua pasang.
“Selain kena fikir tambang van, yuran dan kelengkapan sekolah, baju seragam pun nampaknya kena tukar sebab masing-masing semakin membesar,” katanya.
Pekerja swasta, Ara, 33, berkata, seperti tahun-tahun sebelum ini telah menjadi kelazimannya bersama suami untuk membuat simpanan bagi tujuan itu.
Katanya, bagaimanapun, tahun ini persiapan itu berbeza berikutan tarikh-tarikh penting berkenaan hanya selang sebulan.
“Setiap tahun memang simpan duit dan kami asing wang siap-siap untuk guna balik kampung, raya dan lain-lain.
“Cuma tahun ini mencabar sebab nak bayar yuran sekolah dan beli kelengkapan raya. Lagi pening cukai jalan pun sudah nak tamat tempoh,” katanya. -KOSMO! ONLINE
















