fbpx

Mahkamah: Harta sepencarian RM1 bilion belum muktamad

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Peguam syarie Nur Hidayah (kiri) ketika ditemui selepas prosiding hari ini.

KUALA LUMPUR – Kes tuntutan harta sepencarian berjumlah RM1 bilion yang difailkan balu Allahyarham Tan Sri Dr. Jamaludin Jarjis, Puan Sri Dr. Kalsom Ismail terhadap ibu mentua dan empat anak di Mahkamah Tinggi Syariah di sini, masih di peringkat perbincangan untuk dimuktamadkan.

Berikutan perkembangan tersebut, Hakim Syarie Abdul Shukor Abd. Hamid menetapkan 2 Mei depan untuk tarikh prosiding selanjutnya bagi membolehkan pihak-pihak memaklumkan hasil perbincangan yang dipersetujui untuk direkodkan oleh mahkamah.

Sebelum ini, mahkamah telah menetapkan hari ini bagi pihak-pihak mengemukakan keputusan status perbincangan kes tuntutan tersebut.

Terdahulu, semasa prosiding hakim turut membenarkan permohonan peguam syarie Datuk Sulaiman Abdullah yang mewakili Dr. Kalsom selaku plaintif agar prosiding pada hari didengar secara tertutup.

Selanjutnya Sulaiman turut memohon agar pendengaran seterusnya dibuat secara tertutup atau secara dalam kamar supaya tidak menjejaskan perjalanan persetujuan yang telah dicapai setakat ini.

“Saya memohon prosiding selanjutnya didengar secara dalam kamar bagi membolehkan pertikaian ini tamat dengan jayanya serta hasil perbincangan tidak menjadi bahan publisiti yang akan menjejaskan perjalanan perbincangan,”  ujar Sulaiman.

Sementara itu, peguam Syarie Zuri Zabuddin Budiman yang mewakili keempat-empat anak Allahyarham Jamaludin memaklumkan, anak-anak guamnya bersetuju agar prosiding dijalankan secara tertutup bertujuan melindungi dan merahsiakan terma-terma persetujuan.

“Saya dimaklumkan pihak keluarga sedang merundingkan penyelesaian untuk dimuktamadkan,” ujar beliau.

Bagaimanapun seorang lagi, peguam syarie Nur Hidayah A. Bakar yang mewakili ibu Allahyarham Jamaludin, Aminah Abdullah selaku defendan kelima membantah pendengaran secara tertutup atas alasan setakat ini pihak-pihak belum memaklumkan sebarang terma persetujuan yang dicapai.

Bagaimanapun, Sulaiman tetap berpendirian agar pendengaran diteruskan secara tertutup supaya pihak plaintif boleh menjawab sebarang pertikaian tanpa was-was ia akan dilaporkan oleh mana-mana media.

Kalsom, 66, selaku plaintif memfailkan tuntutan harta sepencarian termasuk 20 hartanah di Malaysia, Makkah serta beberapa buah syarikat pada Oktober 2018, dengan menamakan anaknya, Ikwan Hafiz, Nur Anis, Nurul Alyaa, Noor Adilla dan ibu mentuanya Aminah Abdullah sebagai defendan.

Pada 28 Ogos tahun lalu, mahkamah itu membenarkan permohonan Kalsom untuk meminda pernyataan tuntutan, antaranya membabitkan perkataan hartanah di Boston, Amerika Syarikat dibuang dalam pernyataan tuntutan.

Selain itu, saham dalam syarikat Rantai Wawasan, isu sumbangan tidak langsung berkaitan penjagaan Jamaludin semasa sakit kaki dan isu berkaitan tanah di Gombak dimasukkan dalam pernyataan tuntutan yang dipinda.

Pada 4 April 2015, Jamaludin, yang juga bekas Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat, ketika itu berusia 64 tahun, bersama lima lagi maut apabila helikopter yang mereka naiki dari Pekan, Pahang ke Kuala Lumpur terhempas di kawasan kebun getah di Kampung Sungai Pening, Semenyih pada 4.55 petang.

Turut maut juruterbangnya Kapten Clifford William Fournier, Ketua Setiausaha Sulit kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Datuk Seri Azlin Alias, ahli perniagaan Datuk Tan Huat Seang, pegawai peribadi Jamaludin, Razakan Seran serta seorang wanita yang dikenali sebagai Aidana Baizieva. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI