fbpx

‘Ya, ada pelakon mengaku tersuka suami saya’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BELLA

SHAH ALAM – Selepas memberi bayangan tentang kewujudan orang ketiga, penyanyi Bella Astillah akhirnya mengesahkan kehadiran seorang aktres yang mengganggu rumah tangganya bersama Aliff Aziz.

Katanya, perkara tersebut disedari sekitar tiga minggu lalu selepas pelakon itu menghubungi Aliff berulang kali setiap hari yang mendorongnya mendapatkan penjelasan suaminya.

Dedah Bella lagi, aktres tersebut mengakui mempunyai perasaan terhadap Aliff, namun turut meminta maaf atas kebodohan dirinya menjalin hubungan dengan suami orang.

“Selepas saya bertanya tujuan menghubungi Aliff berulang kali, ada banyak ‘missed call’ dan kesahihan hubungan mereka, dia ada mengaku tersukakan suami saya.

“Saya ada simpan lagi mesej dengan pelakon itu. Dia minta jadi kawan saya, (tapi) tidak. Kalau tidak saya takkan sampai tahap buat hantaran dalam Instagram (memberi amaran).

“Tetapi dia minta maaf. Dia mengakui dirinya bodoh sebab buat tindakan tersebut,” katanya kepada Kosmo! Online, usai konsert minggu separuh akhir Famili Duo di Shah Alam, malam tadi.

Menyentuh mengenai pengakuan aktres itu, akui Bella yang terlebih dulu mendengar penjelasan suaminya berharap mana-mana pelakon bekerja dengan jujur tanpa mencari peluang menjalin hubungan dengan suami atau isteri orang.

Katanya, itu semua berbalik kepada niat seseorang memandangkan pada awal kemunculan semula Aliff, tiada masalah berbangkit terjadi hingga ada pihak menyalurkan maklumat kepadanya berkenaan masalah tersebut.

RUMAH tangga Bella dan Aliff sekali lagi berdepan isu orang ketiga selepas seorang pelakon wanita mengakui menyukai Aliff.

“Selepas Aliff berlakon semula memang tiada masalah. Dia berlakon dengan Nad Zainal, Intan Najuwa semua itu tiada pun masalah kecuali di penggambaran baru-baru ini.

“Pesan saya kalau nak cari rezeki, kena betulkan niat. Nak perkembangan bakat, kerjalah dengan betul. Apabila banyak yang cakap tak baik pasal awak, mesti ada sesuatu.

“Sekarang ini ramai yang akan beritahu kita terus, tak perlu tunggu dalam media sosial. Jadi lepas ini kalau jumpa bujang, teruskan sahaja sebab tiada siapa akan marah awak telefon berulang kali sehari pun.

“Bila tahu itu suami orang, sepatutnya berwaspada, jaga batas supaya orang hormat kita. Begitulah saya bawa diri ketika saya kerja. Tak sekali pun pula saya telefon Zamarul Hisham ketika kami berlakon bersama baru-baru ini,” ujarnya.

Menurut ibu kepada dua anak itu, dia dan Aliff juga sudah berbincang dengan matang bagi menyelesaikan isu tersebut malah suaminya berjanji untuk tidak mengulangi kekhilafannya.

“Orang kata marah dulu suami sebelum salahkan orang lain. Ya, memang saya dapatkan suami saya dulu. Kami selesaikan secara matang, tak macam dulu kami bergaduh sebab hal sama, ” katanya.

Pada awalnya akui pelakon dan penyanyi itu, dia hanya memberi amaran kepada individu tersebut menerusi hantaran laman sosial memandangkan isu lama berulang semula.

Namun akhirnya dia mengambil keputusan mendapatkan penjelasan wanita terbabit pula selepas Aliff meminta maaf dan berjanji tidak lagi meneruskan hubungan dengan pihak berkenaan.

Sebelum ini, Bella memohon orang ramai berhenti membuat spekulasi mengenai rumah tangganya dan mendoakan yang terbaik buat mereka berdua.

Selebriti berusia 29 tahun itu turut mengakui risau apabila kata-kata negatif orang ramai mengenai Aliff seperti isu curang menjadi doa suatu hari nanti.

Kontroversi sebegini bukan pertama kali melanda pasangan tersebut kerana sebelum ini Aliff pernah terkait dengan isu sama dengan beberapa aktres.

Bella pernah memfailkan perceraian pada Mei 2019 sebelum rujuk semula ketika dalam tempoh iddah.

Sekadar info, mereka mendirikan rumah tangga pada tahun 2016 dan dikurniakan sepasang cahaya mata iaitu Ayden Adrean dan Ara Adreanna. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI