fbpx

Gadis Kampus: Mashitah aktif bantu siswa tinggal luar kampus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

NIAT menyambung pengajian dalam aliran Sains di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) untuk bergelar doktor perubatan terpaksa dilenyapkan gadis ini.

Pun begitu, perkara tersebut langsung tidak mematahkan semangat Mashitah Ab. Razak untuk terus berjuang dalam pendidikan dan bergelar insan berjaya.

Langsung tidak mengalah selepas permohonan kali pertama di MRSM tidak berjaya, Mashitah tekad meneruskan pengajian menengah di sekolah harian biasa.

Berkat usahanya, Mashitah berjaya mendapat keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia dengan memperolehi 8A.
Ini membolehkannya menyambung pengajian di Universiti Malaya (UM).

Memilih jurusan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Pengajaran Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua (TESL), anak jati kelahiran Johor Bahru, Johor itu ada sebab tertentu memilih bidang tersebut.

“Semasa belajar di sekolah menengah, saya ada terbaca artikel dalam akhbar mengenai 20 kerjaya yang mempunyai permintaan tinggi di Malaysia dan salah satunya guru bahasa Inggeris.

“Berbekalkan minat dalam subjek ini, saya ambil keputusan untuk menyambung pengajian dalam bidang TESL, sekali gus bergelar guru bahasa Inggeris kelak,” katanya.

Tambah gadis berusia 23 itu, dia kini berada di tahun akhir pengajian dan bakal bergraduasi sebelum memulakan tugas sebenar sebagai guru tidak lama lagi.

Tidak setakat aktif dalam pengajian, Mashitah turut melibatkan diri sebagai Ahli Jawatankuasa Pelajar Luar Kampus (JPLK) pada penghujung tahun 2020.

MASHITAH gembira dapat membantu pelajar-pelajar.

Ia selepas bahagian Hal Ehwal Pelajar UM (BHEP UM) mengaktifkan semula organisasi JPLK sebagai penghubung kepada pelajar luar kampus.

“Keputusan untuk menjadi ahli JPLK menyebabkan saya mula tinggal di luar kampus.

“Ia bagi membolehkan saya melalui sendiri kesukaran dan permasalahan yang dihadapi oleh pelajar UM yang tinggal di luar kampus.

“Menerusi penglibatan dalam JPLK dan sebagai pelajar luar kampus, saya dapati banyak masalah dan kesukaran yang dihadapi.

“Kebiasaannya, ia melibatkan masalah pengangkutan, kewangan, makanan dan sebagainya.

“Melalui kerjasama dengan bahagian kebajikan pelajar HEP UM serta organisasi bukan kerajaan di luar, kami cuba membantu pelajar di luar kampus melalui bantuan makanan kering dan sebagainya.

“Apabila dapat membantu pelajar di luar kampus dan menjadi sebahagian daripada committee (komuniti) yang menghidupkan semula organisasi JPLK, saya rasa puas serta gembira,” katanya.

Rentetan daripada tugas dan pengalaman tersebut, Mashitah diberi kepercayaan serta dilantik sebagai Presiden JPLK bagi sesi 2021/2022.

Kongsinya lagi, sepanjang bergelar presiden, pelbagai aktiviti dilakukannya bagi mengeratkan lagi hubungan dengan lebih 5,000 pelajar luar kampus di bawah kendaliannya.

“Semasa tempoh saya menjadi presiden, pelbagai aktiviti termasuklah Karnival Luar Kampus diadakan.

“Ia bertujuan menyediakan platform kepada pelajar luar kampus untuk bergiat aktif dalam aktiviti kesenian dan e-sukan.

“Karnival ini mendapat kerjasama dari pihak Moontoon sendiri apabila mereka memberi tajaan hadiah untuk aktiviti e-sukan iaitu Mobile Legends.

“Ini merupakan kerjasama fizikal yang pertama pihak Moontoon dengan organisasi di UM.

“Tidak setakat itu, kami juga ada menganjurkan program mendaki bukit, sukan rakyat dan pelbagai aktiviti mini untuk membantu pelajar luar kampus bergiat aktif.

“Ia secara tidak langsung dapat mengenal pasti bakat-bakat terpendam pelajar-pelajar UM,” ujarnya.

Ditebak mengenai perancangan untuk menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi, Mashitah sememangnya mempunyai rencana ke arah itu.

Bagaimanapun, katanya, dia akan bekerja dan berkhidmat terlebih dahulu sebagai guru di sekolah, sebelum menyambung pengajian ke peringkat sarjana.

“Sekiranya mendapat rezeki seperti program fast track, saya akan terus menyambung ke peringkat ijazah doktor falsafah (PhD).

“Apa-apa pun, saya serahkan perkara ini kepada Allah SWT sebagai penentu rezeki. Jika sambung pengajian sekalipun, saya akan ambil kursus berkaitan pendidikan,“ katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI