fbpx
ANMOLE KHAN mampu mengekalkan keputusan cemerlang dalam akademik walaupun sibuk dengan aktiviti kepimpinan dan kesukarelawanan.

Anmole Khan presiden ‘berganda’ kolej kediaman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JIWA kepemimpinan Anmole Khan Muhammad Munir Khan, 23, terserlah apabila diberi kepercayaan untuk menyandang pelbagai jawatan di kolej dan organisasi di Universiti Malaya (UM) sejak menjejakkan kaki ke institusi pengajian itu sehingga kini.

Pelajar tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Mikrobiologi & Genetik Molekul itu bukan sahaja membuktikan kebolehan dalam memimpin tetapi pada masa sama mengekalkan kecemerlangan dalam pelajaran dengan beberapa kali menerima anugerah dekan.

Bayangkan, seawal memasuki Pusat Asasi Sains UM (PASUM) pada 2021, Anmole sudah diberikan kepercayaan menggalas tanggungjawab besar sebagai Presiden Kolej Kediaman 11 pada usia yang dikira masih hijau berbanding pelajar-pelajar senior yang lain.

“Saya tidak menyangka terpilih sebagai presiden kerana umur lebih muda, malah pengalaman tidak sebanyak ahli Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) kolej yang lain tetapi saya menganggap ini satu pengiktirafan dan berusaha melakukan sehabis baik.

“Sudah pasti bergelar presiden kolej kediaman tidak mudah kerana saya perlu menggalas tanggungjawab dalam pengurusan projek kolej, menjaga kebajikan pelajar, membawa suara pelajar ke pihak atasan dan banyak lagi.

“Namun, berkat sokongan pelbagai pihak termasuk ahli keluarga, saya dapat melakukannya dengan baik,” kata gadis kacukan Melayu-Pakistan berasal dari Kuala Lumpur itu kepada K-Kampus.

Tidak hanya aktif di kolej kediaman, Anmole juga terlibat dalam program-program di UM dengan memegang pelbagai peranan seperti speaker, pengacara majlis, moderator, ahli sekretariat, wakil delegasi, ketua biro, pengurus acara dan ahli jawatankuasa.

“Antara program yang saya sertai ialah bersama Sekretariat Sukarelawan UM dengan memegang jawatan sebagai Timbalan Pengarah untuk program Komuniti Hijau UM (UM Green Community) yang memberi perhatian kepada aktiviti pemuliharaan alam sekitar dengan kerjasama badan bukan kerajaan (NGO), Youth Care Malaysia.

“Saya juga dijemput sebagai speaker untuk program Ikon Anak Muda Seminar Kepimpinan Generasi Madani anjuran Malaysia Future Leader School bagi berkongsi pengalaman mengenai kepimpinan pelajar.

“Selain itu, saya turut menjadi peserta dan ahli sekretariat untuk program Global Student Leadership Summit 2026 di Universiti Of Tsukuba, Jepun,” ujar anak ketiga daripada tujuh beradik itu.

Kongsi Anmole, minatnya dalam kepemimpinan telah dipupuk sejak di bangku sekolah apabila dilantik sebagai ketua pengawas.

ANMOLE KHAN merupakan gadis kacukan Melayu-Pakistan berasal dari Kuala Lumpur.

Akui Anmole, aktiviti kepimpinan banyak membantunya membentuk kemahiran insaniah, menjadi lebih berani bercakap dan menonjolkan diri serta mempersiapkan diri untuk menjadi insan lebih baik.

“Sangat rugi apabila di universiti kita hanya memberi fokus kepada akademik semata-mata tanpa melibatkan diri dalam aktiviti kokurikulum sedangkan di situ menjadi platform penting untuk melahirkan graduan berkebolehan tinggi.

“Oleh itu, saya sarankan rakan-rakan pelajar agar tidak mensia-siakan peluang ini,” katanya yang turut menerima pelbagai pengiktirafan seperti anugerah Ikon Ungku Aziz, anugerah Perdana Gemilang dan Anugerah Khas Raja Dr. Nazrin Shah.

Bakat kepimpinan Anmole juga membuatkan dia sekali lagi dilantik sebagai presiden kolej kediaman tapi kali ini Kolej Kediaman 12 atau juga dikenali sebagai Kolej Kediaman Raja Nazrin Shah iaitu kolej kediaman terbesar di dalam kampus UM.

“Pelantikan kali kedua sebagai presiden kolej ini merupakan satu penghormatan besar kepada saya yang membuka banyak peluang baharu untuk memperbaiki diri dalam bidang kepimpinan,” ujarnya.

Mengulas mengenai bidang pengajian ketika ini, Anmole berkata, secara umumnya Mikrobiologi & Genetik Molekul merupakan bidang yang mengkaji organisma hidup yang sangat kecil (tidak dapat dilihat melalui mata kasar) seperti bakteria dan virus serta bagaimana bahan genetik sesuatu organisma itu berfungsi serta berubah.

“Sebagai contoh, kepakaran ahli mikrobiologi dan genetik molekul diperlukan ketika berlakunya Covid-19 beberapa tahun lalu untuk mengenal pasti virus dan corak (pattern) mutasi untuk menyokong pembangunan vaksin dan rawatan.

“Kepakaran dalam bidang ini juga penting untuk pelbagai sektor seperti industri farmasi, keselamatan makanan, alam sekitar, pertanian dan penyelidikan,” ceritanya yang merancang untuk menyambung pengajian di peringkat sarjana dalam bidang sama.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN