fbpx

Jatuh tingkat 11: Mangsa selamat disemadikan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun yang maut selepas terjatuh daripada tingkat 11 selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Mount Austin, Johor Bahru, hari ini.

JOHOR BAHRU – Jenazah kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun yang maut ketika mendapatkan rawatan selepas terjatuh dari tingkat 11 Rumah Pangsa Larkin, di sini petang semalam selamat dikebumikan petang hari ini.

Jenazah Muhammad Izzuddin Abdul Hadi selamat dikebumikan pada pukul 6.20 petang di Tanah Perkuburan Islam Taman Mount Austin, di sini.

Sebelum itu, solat jenazah Allahyarham disempurnakan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) selepas dikafankan.

Keluarga mangsa yang turut hadir bagaimanapun enggan ditemubual kerana masih bersedih dengan insiden yang berlaku sehingga meragut nyawa arwah.

Bagaimanapun, seorang kenalan rapat keluarga tersebut yang hanya mahu dikenali sebagai Shamsudin berkata, keluarga mangsa berharap orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi berkenaan perkara yang berlaku.

“Keluarga mangsa masih lagi sedih ketika ini, jadi diharap mereka diberikan ruang dan tidak diganggu.

“Ajal dan maut di tangan Tuhan, kami semua berharap semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat.

“Hanya Allah sahaja yang mengetahui situasi ditempuhi keluarga, dan diharap semua pihak boleh memahami,” katanya ringkas kepada pemberita.

Mangsa pada mulanya dilaporkan mengalami kecederaan patah tangan kiri selepas terjatuh daripada tempat tinggi sebelum dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk rawatan.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat dalam satu kenyataan memberitahu, mangsa bagaimanapun dilaporkan meninggal dunia pada pukul 12.30 malam tadi ketika sedang menerima rawatan.

“Polis mengesahkan terdapat kes berkenaan, dan kematian kanak-kanak lelaki berkenaan dilaporkan sebagai mati mengejut (SDR),” katanya kepada pemberita melalui aplikasi WhatsApp, di sini hari ini.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI