fbpx

Piala Dunia Hoki: Peluang terakhir banggakan Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MUHAMMAD FIRHAN (kiri) menuntut rakan-rakan sepasukan untuk menutup kempen kali ini dengan penuh bermaruah selepas dimalukan oleh Afrika Selatan di Rourkela kelmarin.

ROURKELA – Penyerang Malaysia, Muhammad Firhan Ashari bertekad mahu memberikan pres­tasi yang boleh membanggakan negara dalam aksi terakhir Piala Dunia Hoki 2023 menentang Jepun di Stadium Hoki Birsa Munda hari ini.

Aksi klasifikasi tempat ke-13 hingga 16 itu adalah peluang ter­akhir Speedy Tigers untuk menutup kempen kali ini dengan penuh bermaruah selepas dimalukan Afrika Selatan 3-6 kelmarin.

Firhan, 29, mengakui mereka perlu segera kembali beraksi pada tahap sebenar meskipun menyedari ia bukan tugas mudah selepas apa yang berlaku ketika aksi menentang Afrika Selatan.

“Agak sukar untuk bangkit selepas tewas kepada Sepanyol dan sekarang kalah dengan cara yang tak memuaskan hati. Kami perlu perbaiki segala kelemahan yang ada dalam tempoh rehat sehari ini.

“Saya sendiri akan cuba kekalkan prestasi dan tunjukkan kepada rakyat Malaysia bahawa kami masih ada semangat melawan. Kami perlu tunjukkan persembahan yang membanggakan untuk lupakan semua ini,” katanya.

Firhan juga tidak menafikan, kekalahan 3-4 kepada Sepanyol menerusi penalti shoot-out me­ninggalkan ‘parut’ yang mungkin menjejaskan prestasi mereka ketika menentang Afrika Selatan.

Lebih-lebih lagi apabila penye­rang dari Terengganu itu adalah pemain terakhir yang gagal menyempurnakan penalti shoot-out sewaktu sudden-death menyebabkan Malaysia tewas kepada Sepanyol di cross over ming­gu lalu.

“Secara peribadi memang ada kesan sebab kita dah selangkah sahaja lagi untuk ukir sejarah baharu tetapi ia tak berlaku. Saya cuba tolak tepi dan fokus yang terbaik untuk perlawanan sete­rusnya.

“Saya dah pernah lalui banyak kesakitan dan keperitan. Saya percaya saya boleh bangkit melawan. Kalau saya tak buat yang terbaik, ia tak adil untuk diri saya sendiri,” jelas Firhan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI