fbpx

Isu dalaman UMNO buka peluang kepada PN

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohamed Azmin ketika berucap selepas merasmikan Bengkel Pengucapan Awam Bersatu Negeri Sembilan di Seremban hari ini.

SEREMBAN – Isu dalaman UMNO ketika ini dilihat memberi lebih peluang kepada Perikatan Nasional (PN) untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam buah negeri nanti.

Ketua Penerangan PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, PN juga bersedia untuk menerima ahli-ahli UMNO yang dijangka ramai akan keluar dari parti itu ekoran kecewa dengan isu dalaman yang sedang berlaku.

Menurut Mohamed Azmin, tindakan kepimpinan tertiinggi UMNO tidak menggambarkan aspirasi akar umbi di bawah yang tidak boleh bersuara.

“Apabila bersuara mereka dipecat, sebab itu saya menyeru kepada ahli-ahli UMNO, ada cara lain gunakan kebijakasanaan sebagai pengundi untuk menyokong PN dalam PRN akan datang.

“Maknanya mereka ada peranan, tidak apa, duduk dalam UMNO tetapi bantu PN dalam PRN akan datang, insyaAllah kami akan terus melaksanakan dasar-dasar prihatin rakyat,” katanya selepas merasmikan Bengkel Pengucapan Awam Bersatu Negeri Sembilan di sini hari ini.

Dalam pada itu, Mohamed Azmin yang juga Pengarah Pilihan Raya PN berkata, pihaknya membuka platform parti itu kepada ahli-ahli UMNO yang dipecat dan digantung keahlian untuk bersama-sama memberikan sumbangan kepada pembangunan negara.

Mohamed Azmin berkata, keterbukaan itu termasuklah kepada bekas ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin yang dipecat serta ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan yang digantung selama enam tahun dari parti itu semalam.

“Setakat ini tidak ada perbincangan, tetapi saya percaya mereka ada peranan untuk bersama-sama dengan PN bagi melakukan sesuatu yang lebih baik.

“Mereka mempunyai pendidikan yang cukup tinggi dan boleh menyumbang untuk menggubal dasar sama ada pendidikan, ekonomi, sosioekonomi bagi membantu negara dan rakyat.

“Sudah tentu (mengalu-alukan), PN ini salah satu platform yang boleh kita bincang tetapi belum ada perbincangan dengan mereka, tetapi saya percaya sebagai sahabat, perkara ini boleh lihat peranan masing-masing untuk pastikan Malaysia terus makmur,” katanya.

Mohamed Azmin turut berpendapat suara Khairy, Hishammuddin Shahril Hamdan senada dengan dasar yang diperjuangkan PN iaitu melawan kleptokrat, perasuah dan salah guna kuasa.

“Saya doakan mereka sabar dan tabah dengan ujian ini.

“Kita akan bincang tidak ada paksaan, apabila mereka menerima ideologi dan matlamat PN, kami bersedia untuk terima mereka,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI