fbpx

Banjir: Tujuh PPS ditutup, mangsa berkurangan kepada 2,464 di Johor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mangsa banjir membantu pasukan Nadma mengemas khemah selepas keadaan banjir semakin pulih di PPS SK Pekan Air Panas, Labis, Segamat

JOHOR BAHRU – Tujuh pusat pemindahan sementara (PPS) di negeri ini ditutup menjadikan jumlah mangsa banjir berkurangan kepada 2,464 orang daripada 674 keluarga setakat pukul 2 petang tadi.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Dr. Azmi Rohani berkata, setakat ini, tinggal 28 PPS masih beroperasi di tujuh daerah iaitu di Mersing, Kluang,Kota Tinggi, Batu Pahat, Segamat, Tangkak dan Muar.

Beliau berkata, jumlah berkenaan menunjukkan penurunan berbanding 3,676 mangsa banjir daripada 1,020 keluarga di 41 PPS yang direkodkan pada petang semalam.

“Pengurangan mangsa banjir ini susulan penutupan tujuh PPS di Segamat dan Mersing pada 12 tengah hari ini. Di Segamat, penutupan sebuah PPS di Dewan Balai Raya Kampung Bukit Tunggal yang menempatkan penduduk kampung terbabit.

“Enam PPS di Mersing yang telah ditutup ialah PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Tenglu, SK Air Papan, SK Sri Mersing, Sekolah Agama (SA) Mersing Kanan, SA Bukit Timbalan dan SA Pengkalan Batu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata, penutupan PPS itu menjadikan mangsa banjir di Segamat menurun kepada 115 penduduk daripada 31 keluarga di lima PPS di daerah terbabit.

Sementara itu, katanya, jumlah mangsa banjir di Mersing berkurangan kepada 796 penduduk daripada 234 keluarga di enam PPS yang masih beroperasi.

Katanya, turut mencatatkan penurunan ialah jumlah mangsa banjir Kota Tinggi yang merekodkan 416 penduduk daripada 104 keluarga, diikuti Kluang (735 penduduk daripada 194 keluarga) dan Muar (lima penduduk daripada sebuah keluarga).

“Keadaan di Batu Pahat pula bertambah sedikit daripada 363 penduduk daripada 101 keluarga kepada 387 penduduk daripada 105 keluarga manakala jumlah mangsa banjir di Tangkak tidak berubah dengan 15 penduduk daripada tiga keluarga,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, di Kota Tinggi, Jalan Mawai Lama dan Jalan Lok Heng/Mawai/Sungai Mas sudah dibuka untuk kenderaan berat manakala Jalan Johor Bahru-Endau dibuka untuk satu lorong sahaja.

Di Segamat, katanya, Jalan Putting dan kawasan kebun berhampiran dan Jalan Bekok dibuka untuk kenderaan ringan sahaja.

“Jalan Tanah Abang di Mersing masih ditutup disebabkan banjir manakala Jalan Sungai Tiram-Ulu Tebrau, Kulai masih ditutup untuk semua kenderaan disebabkan tanah runtuh,” katanya.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI