fbpx

Tiada caj dikenakan kepada peguam syarie tahun ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Na'im.

PUTRAJAYA – Tiada fi atau caj dikenakan terhadap peguam syarie di Wilayah Persekutuan di bawah Seksyen 23, 24, 29 dan 31 Akta Profesion Guaman Syarie (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2019 (Akta 814) bagi tahun ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, Akta 814 telah berkuat kuasa pada 21 Jun 2022 dan susulan pelaksanaannya beberapa fi juga caj boleh dikenakan ke atas anggota Badan Peguam Syarie Wilayah-Wilayah Persekutuan (BPS).

“Fi dan caj ini terdiri daripada yuran tahunan dan levi di bawah Seksyen 47 Akta 814 yang perlu dibayar kepada Badan Peguam Syarie dan beberapa fi lain di bawah Seksyen 23,24, 29 dan 31 Akta 814 yang perlu dibayar kepada Ketua Pendaftar.

“Berhubung dengan fi yang perlu dibayar di bawah Seksyen 23,24,29 dan 31 Akta 814, peruntukan ini memberi kuasa kepada saya selaku menteri untuk menetapkan fi-fi yang berkenaan melalui beberapa kaedah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Mohd. Na’im, beliau bagaimanapun sangat prihatin dengan kebajikan Peguam Syarie khususnya dalam era pasca pandemik dan dapat dilihat bahawa profesion berkenaan masih lagi belum pulih sepenuhnya.

“Sehubungan dengan itu, saya berpandangan bahawa kajian lanjut perlu dilaksanakan oleh pihak-pihak dengan mengambil kira amalan yang dilaksanakan oleh mahkamah sivil dan Majlis Peguam berhubung dengan pengurusan peguam bela dan peguam cara sebelum apa-apa ketetapan berhubung pengenaan fi boleh dibuat,” ujar beliau. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI