fbpx

Mahkamah: Ahmad Zahid mohon pasport dikembalikan secara kekal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahmad Zahid.

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menegaskan pasport antarabangsanya yang kini ditahan Mahkamah Tinggi sebagai syarat jaminan tambahan, menjadi kekangan kepada beliau untuk melaksanakan tugas rasmi sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kabinet.

Ahmad Zahid berkata, pasport antarabangsa diperlukan bagi membolehkan Jabatan Imigresen memproses permohonan beliau untuk mendapatkan pasport diplomatik bagi memudahkan perjalanan keluar masuk negara.

Sehubungan itu, beliau memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi di sini agar pasport antarabangsanya yang ditahan sebagai syarat jaminan tambahan, dikembalikan secara kekal secepat mungkin.

Ahmad Zahid turut memohon perintah mahkamah agar penyerahan pasport sebagai syarat jaminan tambahan diketepikan manakala jumlah jaminan RM2 juta dikekalkan.

Pasportnya ditahan mahkamah hampir lima tahun lalu berikutan pendakwaan berhubung kes rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram melibatkan dana Yayasan Akalbudi sejak 2018.

Dalam afidavit yang diikrarkannya bagi menyokong permohonan itu, Ahmad Zahid memaklumkan, beliau tidak mempunyai akses terhadap pasport tersebut sehingga menghalangnya melaksanakan tugas sebagai Menteri Kabinet.

Beliau dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah pada 2 Disember lalu dalam pembentukan Kerajaan Perpaduan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ahmad Zahid selanjutnya menyatakan, beliau menerima mandat daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mewakilkan beliau dalam beberapa urusan pentadbiran negara.

“Bagi melancarkan pergerakan dan urusan dan tugasan selaku Timbalan Perdana Menteri, saya dikehendaki berada di dalam dan di luar negara yang mana saya percaya perkara itu memerlukan pasport berada dalam pegangan saya sendiri.

“Saya tidak berniat melarikan diri atau tidak menghadirkan diri pada prosiding mahkamah kerana saya masih lagi berkhidmat sebagai Ahli Parlimen dan bergiat aktif dalam bidang politik serta ahli keluarga saya kesemuanya berada di sini,” ujarnya.

Menurut Ahmad Zahid, permohonan itu sekali gus dapat mengurangkan jumlah permohonan pelepasan pasport sementara kepada pihak mahkamah setiap kali beliau perlu melaksanakan tugas rasmi ke luar negara.

Ahmad Zahid turut mengikrarkan bahawa permohonan itu tidak berniat jahat atau memprejudiskan mana-mana pihak selain memberi akujanji untuk tetap memberikan kerjasama penuh menyelesaikan perbicaraan yang kini di peringkat pembelaan.

Ahmad Zahid memfailkan permohonan itu di Pejabat Pendaftaran Jenayah Mahkamah Tinggi melalui Tetuan Shahrul Hamidi & Haziq pada 20 Januari lalu. Beliau turut memfailkan perakuan segera agar permohonan itu didengar dan diputuskan secepat mungkin.

Hari ini ditetapkan untuk pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar Nurul Aini Hamzah yang turut dihadiri Timbalan Pendakwa Raya, Abdul Malik Ayob bagi pihak pendakwaan manakala peguam Nabihah Meor Azli mewakili Ahmad Zahid. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI