SEGAMAT – Seorang ibu tidak menyangka permintaan anaknya agar dimasakkan makanan kegemaran iaitu kari ayam sebelum keluar rumah rupanya-rupanya menjadi petanda mangsa akan pergi buat selama-lamanya selepas dia ditemui lemas di Pantai Batu Layar dekat sini kelmarin.
Suhaili Mohd. Sidek, 45, berkata, dia memutuskan untuk memasak makanan kegemaran Allahyarham Hani Suefyan Hanizam, 16, sebelum anaknya itu keluar mandi-manda bersama rakan di pantai berkenaan.
“Hani ada minta saya memasakkan kari ayam kegemarannya beberapa jam sebelum kejadian.
“Sebagai ibu, saya tidak sampai hati menolak permintaannya walaupun pada awalnya saya fikir elok disediakan masakan itu selepas dia pulang.
“Itulah kali terakhir saya bertemu dengannya sebelum dia pergi ke rumah rakan di Kluang dan bertolak ke Pantai Batu Layar di Kota Tinggi,” katanya ketika ditemui di Tanah Wakaf Perkuburan Islam Waris Haji Sawil di Kampung Tasek, di Gemereh semalam.
Menurutnya, dia dan suami, Hanizam Hashim, 47, reda dengan ketentuan Allah, namun tidak menyangka arwah akan menemui ajalnya dengan cara begini bersama seorang lagi rakannya.
Dalam kejadian pada pukul 1.26 tengah hari itu, mayat rakannya, Mohamad Imran Mohd Nazir, 17, ditemui lebih awal sebelum mayat Hani Suefyan Hanizam yang ditemukan terapung kira-kira pukul 5.20 petang.
Sementara itu, adik kepada mangsa, Hani Lokman Hanizam, 15, berkata, dia pasti merindui kehadiran abangnya setiap kali mereka berkumpul di meja makan.
“Abang (arwah) selalu bergurau dengan kami sambil memuji masakan ibu.
“Pemergiannya pasti amat dirasai terutama apabila kami berkumpul untuk makan bersama. Kami akan merinduinya buat selama-lamanya,” katanya.
Jenazah anak sulung daripada tiga beradik itu dibawa menaiki van jenazah ke Tanah Perkuburan Islam Waris Haji Sawil selepas solat jenazah di Masjid Gemereh sebelum dikebumikan pada pukul 8.45 pagi semalam.














