fbpx

Tiga beranak dihempap pokok, suami patah kaki di Zoo Melaka

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tiga beranak dikejarkan ke hospital selepas dihempap sebatang pokok tumbang di Zoo Melaka, semalam.

MELAKA – Keseronokan tiga beranak mengunjungi Zoo Melaka di sini bertukar tragedi apabila dihempap pokok tumbang, semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2.40 petang itu, mangsa lelaki berusia 43 tahun mengalami patah kaki, manakala isteri dan anak lelakinya berusia enam tahun cedera ringan.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, kejadian berlaku ketika keluarga tersebut berada di kawasan pameran harimau.

“Sebelum itu mereka sekeluarga menaiki kenderaan disediakan pihak zoo untuk bersiar-siar melihat pameran haiwan pada pukul 2.05 petang.

“Sebaik tiba di kawasan kejadian, tiba-tiba sebatang pokok telah tumbang dan menghempap mereka menyebabkan mangsa lelaki patah kaki kanan, manakala isteri dan anaknya hanya mengalami cedera ringan,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini, hari ini.

Anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) melakukan kerja-kerja pembersihan pokok tumbang di Zoo Melaka.

Katanya, susulan insiden itu keluarga tersebut telah dikejarkan ke Hospital Melaka untuk menerima rawatan lanjut.

“Kawasan tersebut telah dibersihkan dan kerja-kerja selenggara dibuat oleh pihak Zoo Melaka serta agensi berkaitan,” katanya.

Dalam pada itu, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), Datuk Shadan Othman ketika dihubungi berkata, pihaknya telah mengambil tanggungjawab terhadap insiden yang menimpa mangsa termasuk menguruskan perubatan dan penghantaran pulang ke Kajang.

“Kita percaya kejadian ini berpunca daripada hujan lebat berterusan sejak pukul 2 pagi semalam yang menyebabkan pokok menjadi berat.

“Jadi bila adanya angin yang meniup, pokok itu tumbang, dia bukannya patah tengah, tetapi tumbang dari bawah,” katanya.

Tambahnya, kerja-kerja pemantauan sentiasa dijalankan termasuk cantasan pokok-pokok yang berada di dalam kawasan zoo berkenaan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI