fbpx
Mayat Hani Suefyan yang hilang sejak semalam selepas mandi bersama rakannya di Pantai Batu Layar, Kota Tinggi berjaya dijumpai pukul 5.20 petang tadi.

Mayat remaja lemas timbul selepas bapa saudara azan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI – Mayat remaja yang hilang ketika mandi bersama rakannya di Pantai Batu Layar semalam berjaya dijumpai kira-kira 100 meter dari lokasi mangsa dilaporkan lemas.

Mayat Hani Suefyan Hanizam, 16, dijumpai pukul 5.20 petang tadi selepas kira-kira satu jam lebih azan dilaungkan bapa saudaranya Abdul Rahim Hashim, 26, di pantai berkenaan yang turut menyertai operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora berkata, mayat mangsa ditemui pasukan penyelamat yang menyambung semula operasi SAR pada pukul 3 petang tadi.

“Hasil operasi SAR pada hari kedua, kita berjaya menemukan mangsa yang hilang dan disahkan telah meninggal dunia disyaki akibat lemas. Mayat mangsa ditemukan dalam keadaan terapung dan sedang dibawa oleh arus ke pantai.

“Mayat mangsa juga sudah dicamkan oleh ibu bapanya. Mayat mangsa dibawa ke Hospital Kota Tinggi (HKT) di sini, untuk tujuan bedah siasat bagi mengetahui punca sebenar kematian,” katanya ketika ditemui pada operasi SAR di lokasi kejadian di sini, hari ini.

Jenazah Hani Suefyan dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Alai, Gemereh, Segamat.

Terdahulu, Kosmo! melaporkan seorang remaja ditemui lemas, manakala seorang lagi masih hilang dan dikhuatiri lemas ketika mandi-manda di Pantai Batu Layar di sini, semalam.

Dalam kejadian pukul 1.26 petang semalam, Mohamad Imran Mohd Nazir, 17, dilaporkan meninggal dunia, manakala Hani Suefyan tidak ditemui.-KOSMO! ONLINE

POPULAR