“TAHUN arnab ini tahun yang boleh lompat. Meaning you have to shift lor (bermakna kita kena bergerak maju).”
Demikian ungkap anak seni serba boleh yang juga ahli akademik berjaya, Dr. Soo Wincci tentang istimewanya ‘tema’ sambutan Tahun Baharu Cina pada kali ini.
Wincci, 38, yang tidak lokek dengan senyuman dan fasih berbahasa Melayu itu berkata, dalam apa jua perkara dilakukan, perlu ada kemajuan atau peningkatan.
“Misalnya dalam kerjaya, sudah sampai waktu untuk ditingkatkan pada paras lebih tinggi.
“Tahun yang bagus untuk lonjakkan sesuatu di peringkat tertinggi. Bukan berada di paras mendatar. Jadi, Tahun Arnab paling bagus untuk ‘lompat’.

“Harap-harap, lagi bagus berbanding dua tahun kebelakangan ini. Hal ini kerana, kalau ikut kalendar Cina, Tahun Tikus (2020) memang ada masalah.
“Covid-19 berlaku. Orang cakap, Tahun Tikus, sesuatu akan berlaku dan memang betul. Tahun Lembu (2021) pula tahun kita bekerja keras semula,” katanya semasa sesi fotografi khas di Studio Media Mulia, Petaling Jaya.
Tradisi, kepercayaan
Ditebak apa yang istimewa dari segi sambutan, tradisi dan juadah pada Tahun Arnab kali ini, jawab mantan Miss World Malaysia 2008 itu: “Dahulu kalau raya Cina balik Ipoh, Perak. Sekarang tak. Semua famili akan berkumpul di rumah saya di sini (ibu kota).
“Sambutan pun dah tak macam dahulu. Sekarang trendy. Kadang-kadang keluar dan pergi makan.
“Saya ramai kawan-kawan Muslim, mereka datang dan saya masak.”
Sambung pensyarah Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu, dia sangat merindui zaman kecil. Waktu itu, semua orang pasti berpusu-pusu pulang ke kampung halaman masing-masing.

“Sekarang dah tak semeriah dahulu. Apabila sudah dewasa, ramai saudara-mara sudah meninggal dunia. Ketika berkumpul, dah tiada ‘orang tua’.
“Tahun lepas, nenek saya meninggal dunia pada usia 80-an. Kalau berkumpul untuk beraya, saya tengok semua dah berpasangan. Saya hanya mampu tersenyum dan tumpang gembira untuk mereka,” katanya.
Hidup solo, tahu kehendak diri
Terlanjur menyentuh statusnya yang masih solo pada usia kian menghampiri 40-an, Wincci berkata, dia tidak kisah membujang sampai bila-bila. Namun, dia juga tidak menolak andai dipertemukan dengan lelaki sesuai.
“Kebebasan adalah segala-galanya. Saya dah cakap dengan ibu bapa, saya mungkin tidak akan pernah berkahwin. Kalau itu terjadi, besar kemungkinan saya akan bercerai.
“Sebab saya tak suka kebebasan disekat. Saya seorang yang sangat berdikari. Kerja saya memang tiada masa untuk bercinta.
“Cukup buat saya bina kerjaya dan bela haiwan peliharaan (anjing) di rumah. Saya okey hidup solo. Bukan tak pernah cuba bercinta. Pernah tapi memang tak boleh beri komitmen.
“Saya pernah hampir nak kahwin tapi sebelum itu terjadi, saya lari. Saya tahu hati saya bagaimana. Waktu itu, hati berbolak-balik. Saya bersyukur perkahwinan itu tidak berlaku. Itu satu tanggungjawab yang besar dan saya memang tak boleh tunaikan,” jelasnya yang enggan terlalu memperincikan kejadian terbabit.
Jadi penerbit, nama Malaysia
Mengulas lanjut, Wincci berkata, kalau tidak bersedia untuk melakukan sesuatu, jangan sesekali melakukannya terutama jika melibatkan orang lain.

“Kawan-kawan selalu cakap kalau tak nak anak, jangan kahwin. Sebab itu saya jadi seorang pensyarah, mengajar dan turunkan ilmu kepada anak orang lain.
“Saya enggan buat sesuatu yang tak boleh dibuat. Macam pelajaran juga. Ibu bapa suruh belajar undang-undang, saya jadi anak yang baik pergi belajar tapi tak jadikannya sebagai satu kerjaya,” ujarnya penuh yakin.
Wincci juga memaklumkan, dia ingin terus melebarkan kerjaya dalam pelbagai bidang, terbaharu dengan bergelar seorang penerbit.
“Saya cabar diri untuk jadi komposer juga. Jadi artis sekarang dah macam ‘name card’. Kalau tak terus majukan diri dalam industri, kita akan ‘mati’.
“Jadual saya sangat padat, anak seni dan juga pendidik. Sama-sama kita memajukan diri dan mengharumkan nama Malaysia di mata dunia,” tutupnya.














