‘GOLDEN Queen’. Itu komen ditinggalkan pengendali akaun rasmi Golden Globes Award dan The Hollywood Foreign Press Association (HFPA) yang juga penganjur acara pengiktirafan berprestij berkenaan dalam laman sosial Tan Sri Michelle Yeoh.
Jolokan tersebut merujuk kepada gambar kemenangan pelakon asal Ipoh, Perak itu dalam Anugerah Golden Globes ke-80 yang berlangsung di Beverly Hills, Amerika Syarikat, baru-baru ini.
Dua perkataan itu sudah cukup menggambarkan keyakinan seluruh industri perfileman Hollywood terhadap bakat luar biasa aktres yang sudah empat dekad memperjuangkan bakatnya di pentas global.
Secara tidak langsung, gelaran Pelakon Wanita Terbaik Muzikal/Komedi menerusi Everything Everywhere All At Once menyuntik semangat pelakon Asia lain supaya jangan takut mengejar impian ke persada dunia.

Inspirasi
Malah sebagai anak seni Malaysia pertama yang menggengam trofi tersebut, nama Yeoh terus menjadi sebutan serta contoh perjuangan seorang insan seni seluruh Asia.
Tidak hairan ucapan tahniah membanjiri Instagramnya sejak seminggu lalu yang kemudian dikongsi semula sebagai tanda penghargaan terhadap sokongan ramai.
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah juga antara pembesar negara yang menzahirkan tahniah.
Pemimpin negara termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim antara yang turut mengucapkan penghargaan atas pencapaian membanggakan negara itu.
Malah dalam hantaran di laman Facebook, Anwar berharap pencapaian aktres berusia 60 tahun itu memberi inspirasi kepada budayawan dan seniman tempatan untuk terus berkarya serta mencambahkan bakat kreatif berkualiti.
Dalam acara berprestij Anugerah Golden Globe edisi ke-80 baru-vbaru ini, wanita Asia yang pernah digelar Gadis Bond itu mengenepikan Lesley Manville menerusi filem Mrs Harris Goes to Paris, Margot Robbie (Babylon), Anya Taylor-Joy (The Menu) dan Emma Thompson (Good Luck to You, Leo Grande).

“Untuk tiba di sini, saya melalui perjalanan panjang yang cukup hebat. Ketia tiba di sini (Hollywood), saya digekar minoriti, tapi saya kata, ini bukan sesuatu yang mustahil,” ungkap Yeoh penuh makna mengimbau cabaran dilaluinya di pentas gah berkenaan
Sejak mula ditayangkan pada Mac tahun lalu, penampilannya dalam filem ‘indie’ itu menjadi sebutan ramai, sekali gus terlebih dulu meletakkan keyakinan tinggi pengkritik filem terhadapnya.
Filem pecah panggung Everything Everywhere All At Once ditayangkan sekitar Mac lalu yang menyaksikan Yeoh melakonkan watak isteri dan ibu yang mahu menyelamatkan dunia.
Peranan sebagai pendatang Cina yang gagal dalam perniagaan kedai dobi, memberi kelebihan buat Yeoh menyerlahkan kredibiliti sebagai pelakon versatil.

Potensi Oscars
Bersandarkan komen pemerhati industri perfileman Hollywood, Yeoh juga berpotensi pulang Oscars dalam Anugerah Akademi musim ini.
Andai ramalan berkenaan menjadi kenyataan, dijangka Ikon Tahun 2022 oleh majalah Time itu bakal menjadi penerima pertama Asia yang memenangi Oscars bagi kategori pelakon wanita.
Begitupun, sebarang pencalonan Anugerah Akademi ke-95 yang dijadual berlangsung Mac nanti hanya akan diumumkan dalam masa terdekat.
Sebelum ini, beberapa anak seni kelahiran Asia pernah memenangi Oscar antaranya Pengarah Terbaik bagi filem Parasite, Bong Joon-Ho, selain Chloe Zhao yang turut memenangi kategori sama menerusi Nomadland.
Yeoh yang terlebih dulu memulakan kerjaya lakonan di Hong Kong sebelum menembusi Hollywood sekitar 40 tahun lalu sudah membintangi lebih 70 buah filem antarabangsa.
Antara lakonan dalam filem terbitan Hollywood ialah James Bond, Tomorrow Never Dies (1997), diikuti Crouching Tiger, Hidden Dragon, Memoirs of Geisha, The Lady, Crazy Rich Asians dan Shang-Chi dan The Legend of the Ten Rings.















