fbpx

Suami isteri jadi pak turut ahlong didakwa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TERTUDUH, Chern Fong (depan) dan isterinya, Siew Wei diiringi polis di Mahkamah Majistret Kulai, Johor hari ini.

KULAI – Pasangan suami isteri dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kulai, di sini hari ini atas pertuduhan melakukan perbuatan khianat menyimbah cat merah pada pintu pagar dan halaman sebuah rumah, tahun lalu.

Tertuduh, Yaw Chern Fong, 26, dan isterinya, Phang Siew Wei, 44, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah dalam bahasa Mandarin di hadapan Majistret, Azureen Sahira Sauffee Afandi.

Mengikut kertas pertuduhan, kedua-dua mereka didakwa melakukan khianat dengan menyimbah cat merah pada pintu pagar dan halaman rumah seorang wanita yang menyebabkan kerugian kira-kira RM200.

Perbuatan itu didakwa dilakukan kira-kira 7.30 pagi di Jalan Sentosa 10, Taman Sentosa, di sini pada 30 Disember 2022.

Bagi pertuduhan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama. Mereka berdepan hukuman penjara maksimum lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Mahkamah kemudian membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan perlu melapor diri di balai polis terdekat sebulan sekali. Mahkamah menetapkan 21 Februari depan sebagai sebutan semula kes.

Pada 11 Januari lalu, Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Tok Beng Yeow melaporkan tiga individu termasuk seorang wanita yang ditahan selepas disyaki terlibat kegiatan mengambil upah daripada ah long untuk melakukan khianat dengan api serta menyimbah cat di rumah peminjam wang sekitar daerah ini.-KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI