KLIK!’ satu momen bersejarah era pemerintahan Perdana Menteri Malaysia (PM) ke-10, Datuk Seri Anwar Ibrahim dibekukan saat picu kamera berjenama Leica ditekan.
Setiap imej terhasil menonjolkan keperibadian seorang tokoh politik yang bukan sahaja menjadi tatapan masyarakat pada masa kini, malah akan menjadi rujukan ahli sejarah pada masa depan.
Di belakang kamera, berdirinya seorang individu bernama Sadiq Asyraf yang bertanggungjawab untuk memastikan setiap momen mampu diterjemahkan dengan baik sebelum menjadi bahan tatapan umum.
Menggalas tanggungjawab sebagai jurugambar rasmi Perdana Menteri, pemuda berusia 31 tahun tersebut mendedahkan bahawa dirinya tidak pernah berbual dengan ahli Parlimen Tambun itu.
Bagaimanapun, keserasian wujud secara semula jadi di antara mereka sehingga berjaya menghasilkan foto-foto yang membawa seribu makna.
“Saya tidak pernah bercakap dengan Datuk Seri (Anwar) sepanjang bertugas sebagai jurugambar rasmi beliau. Sebagai ahli politik berpengalaman, beliau tahu apa yang beliau mahu sampaikan kepada umum dan saya perlu peka bagi memastikan momen-momen tersebut berjaya dirakam.
“Sebagai seorang penasihat visual merangkap jurufoto profesional, sudah menjadi tugas saya untuk memahami kehendak PM tanpa perlu kami berkomunikasi secara langsung.
“Kami bagaikan memiliki telepati yang mana saya perlu memahami bahasa tubuh Datuk Seri, manakala beliau memahami sudut kamera saya. Secara jujurnya, kalau adapun kami bercakap, beliau cuma tanya dua soalan saja kepada saya sepanjang tempoh ini iaitu saya asal dari mana dan kenapa kulit saya gelap,” ujarnya sambil tertawa.

Mengimbau kembali saat dirinya dipilih untuk menjadi ‘mata’ kepada rakyat Malaysia, pemuda kelahiran Kuala Lumpur ini tidak menyangka aktiviti yang dianggap sebagai hobi pada mulanya, mampu meletakkan dirinya sebagai antara insan penting dalam mendokumentasikan pemerintahan negara.
Manakan tidak, pencapaian kariernya itu membuktikan bahawa tekadnya untuk mengubah haluan dengan meninggalkan pengajian dalam jurusan Matematik Industri pada tahun terakhir di Universiti Teknologi Malaysia membuahkan hasil.
“Saya mula berjinak dalam bidang fotografi pada tahun 2010 setelah saya menyertai kelab fotografi di universiti. Kemudian, saya sedar ini adalah haluan karier saya dan ambil keputusan untuk membuka syarikat sendiri bernama Xposureman Enterprise pada 2013.
“Menerusi syarikat tersebut, saya mula mengambil kerja-kerja freelance meliputi projek-projek melibatkan pelanggan korporat, majlis-majlis serta bekerjasama dengan agensi-agensi media dalam dan luar negara.
“Tugas photojournalism pertama saya melibatkan kes kematian Kim Jong- nam pada 2017 bersama akhbar Jepun, Asahi Shimbun.
“Alhamdulillah, hasil-hasil kerja semenjak itu telah menarik minat pihak Datuk Seri (Anwar) untuk menggunakan khidmat saya sebagai penasihat visual pada kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu,” ujarnya yang tidak menyangka rezekinya berterusan setelah ahli politik itu mengangkat sumpah menjadi PM ke-10.
Sadiq banyak menggunakan nalurinya sebagai seorang jurugambar dalam memahami penceritaan yang hendak disampaikan.
Menurutnya, sifat Anwar yang natural dalam melakukan tugasnya memudahkan dirinya untuk merakam momen-momen estetik sekali gus mampu menyentuh sanubari masyarakat Malaysia.
“Datuk Seri seorang yang kandid. Saya perlu sentiasa peka bagi memastikan saya tidak terlepas momen-momen penting. Pertama kali imej Datuk Seri angkat tangan dirakam saya adalah pada hari penamaan calon.
“Gambar itu tular dalam media sosial. Kini, aksi lambaian tangan kepada masyarakat tersebut boleh dikatakan sudah menjadi trademark buat beliau,” jelas bapa kepada seorang anak itu.
Sudah menjadi impian setiap jurufoto untuk melihat gambar-gambar bidikan mereka terpapar dalam arkib negara buat bertahun lamanya, Sadiq mengakui berasa teruja memikirkan kemungkinan itu.

Gambar paling ikonik pernah direkod dalam sejarah negara adalah gambar PM pertama, Tunku Abdul Rahman mengangkat tangan ketika melaungkan kemerdekaan pada 1957, hasil bidikan jurufoto Jabatan Penerangan Negara pada ketika itu, Ng Weng Hong.
Bagi memastikan setiap imej yang dirakam memiliki nilai estetika malar hijau, Sadiq menjadikan jurufoto bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Barrack Obama iaitu Pete Souza serta jurufoto Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau iaitu Adam Scotti sebagai rujukan.
“Untuk memastikan gambar-gambar ikonik ini dapat dirakam sebaiknya, saya banyak menjadikan Pete dan Adam sebagai rujukan. Saya juga suka melihat gambar-gambar Presiden Indonesia, Jokowi yang tidak pegun serta memiliki nilai penceritaan tersendiri.
“Saya merupakan antara insan yang memiliki akses eksklusif kepada PM, jadi saya perlu mengambil kesempatan ini untuk mempersembahkan sisi beliau yang tidak dapat dilihat umum,” ujarnya yang turut bekerjasama dengan sahabatnya, Afiq Hambali dalam memastikan momen-momen penting melibatkan Perdana Menteri direkodkan.

Bagaikan mendapat durian runtuh, Sadiq turut terpilih untuk menjadi duta jenama kamera, Leica sekali gus diberikan platform mempamerkan hasil karyanya di Leica Store di Avenue K, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Pameran imej-imej tersebut menuntun pengunjung untuk mengimbas suka duka yang dilalui sepanjang tempoh 2020 hingga 2022 termasuklah serangan pandemik Covid-19, perintah kawalan Pergerakan (PKP), situasi banjir serta kemelut politik sepanjang tempoh tersebut.
Sadiq meluahkan rasa syukur dengan peluang terhidang dan menjemput orang ramai untuk hadir melihat pamerannya bermula 7 Januari lalu sehingga 5 Februari depan.
“Saya percaya fotografi dan literasi visual adalah salah satu rujukan terpenting untuk membantu generasi masa depan memahami sejarah, budaya dan identiti negara ini,” katanya menggulung bicara.














