fbpx

Noor Fadhlina bina kerjaya dalam bidang perkapalan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NOOR FADHLINA membuktikan wanita juga mampu berjaya dalam bidang perkapalan biarpun bidang itu didominasi lelaki.

MUTAKHIR ini dapat dilihat semakin ramai wanita memilih mengembangkan kerjaya dalam bidang yang lazim didominasi kaum lelaki.

Sesuai dengan peribahasa berdiri sama tinggi, duduk sama rendah, wanita juga boleh berjaya dalam bidang-bidang berkenaan jika diberi ruang dan peluang.

Noor Fadhlina Mohamed Jamin, 42, antara wanita yang membuktikan hal tersebut apabila dia yang menceburi bidang perkapalan kini menjawat jawatan sebagai Senior Designated Person Ashore (DPA).

DPA memainkan peranan utama sebagai penghubung di antara kapal dengan pengurusan syarikat di daratan.

Selain itu, dia juga bertanggungjawab berhubung pelaksanaan pengurusan keselamatan, sekuriti dan kebajikan pekerja di atas kapal.

Kongsi Noor Fadhlina, minatnya dalam kerjaya tersebut bermula secara kebetulan apabila dia menaiki kapal ketika membuat latihan sebagai pegawai simpanan tentera laut ketika menuntut di universiti.

Menurutnya, sewaktu itu, dia bertemu dengan nakhoda kapal yang memberitahu tentang selok-belok kerjaya seorang pelaut.

“Dari situlah semua bermula dan selepas itu, saya memasuki Akademi Laut Malaysia (ALAM) untuk mengambil subjek dan peperiksaan tertentu.

“Kemudian, saya mendapat beberapa tawaran dan bekerja di beberapa syarikat berbeza.

“Di samping itu, saya juga mengambil sijil-sijil kecekapan yang melayakkan saya menjadi auditor kapal di samping kelayakan sebagai DPA dan Company Security Officer,” katanya.

Noor Fadhlina menjelaskan, setelah dia menimba pengalaman dengan beberapa syarikat, dia akhirnya menerima tawaran berkhidmat sebagai DPA dengan Sapura Energy Berhad (SEB) pada 2018 hingga sekarang.

DPA memainkan peranan utama sebagai penghubung di antara kapal dengan pengurusan syarikat di daratan.

Noor Fadhlina berkata, kerja DPA pada amnya bergantung kepada pelan tahunan yang telah dirancang pada setiap awal tahun.

Hal ini meliputi audit setiap kapal, audit dalaman ke atas pengurusan perkapalan di pejabat dan audit tahunan dari Jabatan Laut Malaysia.

“Selain itu, aspek pengurusan juga tertumpu kepada laporan-laporan wajib yang perlu dihantar nakhoda kapal untuk disemak.

“Ini bagi memastikan kapal-kapal yang dijaga sentiasa dalam kesiapsiagaan dan terpelihara dari segi kecekapan kru kapal, kondisi kapal dan segala dokumentasi yang diperlukan setiap projek,” katanya.

Tambahnya, dia juga harus meneliti peraturan-peraturan terbaharu dari Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO) dan mengeluarkan memo atau notis kepada nakhoda kapal pada waktu-waktu yang diperlukan.

Menerangkan mengenai peranan memastikan kesiapsiagaan kapal, Noor Fadhlina berkata, kesiapsiagaan ini meliputi sijil-sijil yang diperlukan untuk kapal terus layak beroperasi di bawah kod Maritim Antarabangsa.

“Pencapaian sebeginilah yang mendorong kapal berjaya mendapatkan kontrak kerja, menjalankan kerja dengan jayanya dan pulang dengan mengharumkan nama syarikat,” kata Noor Fadhlina.

Tambahnya, sudah semestinya semua itu adalah hasil usaha bersama setiap peringkat serta bahagian di dalam SEB dan dia menyumbang serba sedikit ke arah pencapaian itu.

Noor Fadhlina berkata, tidak dapat dinafikan bidang kerjayanya itu didominasi oleh lelaki dan tidak ramai wanita yang menjawat jawatan sebagai DPA di syarikat perkapalan.

“Majoriti berpendapat, kelayakan sebagai DPA memerlukan seorang yang memiliki kelayakan yang setanding dengan tanggungjawab dipikul dan itu bukan tugas mudah bagi seorang wanita.

“Bagaimanapun, pada saya, jika anda memiliki kriteria diperlukan, anda sememangnya layak dan tiada sebab untuk wanita tidak boleh berdiri setanding lelaki di dalam industri yang saya ceburi sekarang,” jelasnya.

Dia juga bersyukur di dalam SEB, profesionalisme di dalam kerja adalah sangat tinggi.

Katanya, tidak wujud masalah diskriminasi gender dan apa yang membuatnya terharu adalah penerimaan pegawai-pegawai kapal ketika dirinya melakukan audit kapal.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI