fbpx

Syamsul munafik, pengecut – Puteri Sarah Liyana

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – “Berhentilah guna nama Allah, itu tunjukkan awak munafik”.

Demikian nasihat Puteri Sarah Liyana Kamaruddin yang meminta suaminya, Syamsul Yusof jangan mempergunakan agama bagi menutup perbuatannya.

Pelakon tersebut turut menganggap

tindakan Syamsul mengumumkan pernikahan kedua dalam media sosial dan kemudian mempersalahkan dirinya adalah sikap lelaki pengecut.

“Tindakan awak sekarang sebagai lelaki pengecut. Dah kahwin baru, kemudian salahkan saya. Macam mana awak bincang dengan mak ayah saya masa nak kahwin, patutnya macam itu. Saya masih ada ibu bapa.

“Dulu dengan mama dan papa awak, awak kata, tak nak perempuan itu, tapi sekarang semuanya sudah terbalik. Berhenti daripada menyalahkan orang sekeliling,” katanya menerusi perkongsian dalam Instagram.

Hanya mengetahui sah dimadukan menerusi laman sosial dan bukannya dari mulut suami sendiri, Puteri Sarah  menempelak Syamsul supaya bersikap ‘gentleman’ dalam menangani isu rumah tangga yang disembunyikan sejak empat tahun lalu.

Kata pelakon itu, Syamsul juga bermuka-muka selain membiarkan kemelut terus berlarutan apabila enggan berbincang selepas dia memilih untuk terlebih dahuku keluar dari rumah, selain menyekat nombor telefonnya sejak setahun lalu.

“Sebelum dia ajak saya balik rumah untuk berbincang, saya nak tanya dia balik, kenapa selama ini diam? Kenapa baru sekarang nak mempersoalkan? Dan siapa yang keluar rumah dulu?

“Kenapa dibiarkan berlarutan sampaikan dah kahwin pun saya tahu dari media sosial. Kenapa tak hubungi atau cari saya di rumah keluarganya saja. Kenapa saya tinggal dengan keluarga saya, sebab saya terkontang-kanting seorang jaga anak.

“Jangan cakap saya tak cari sedangkan dia ‘blocked’ nombor telefon saya sejak setahun lalu. Saya merayu jangan bermuka-muka atau bersikap naif dalam isu ini,” kata Sarah saat dihubungi Kosmo! Online.

Menurut Puteri Sarah lagi, tuduhan Syamsul mendakwa dirinya keluar rumah dan membawa anak-anak tanpa keizinan suami juga tidak berasas sama sekali.

Malah tegasnya, jika anak-anak boleh beri kenyataan di mahkamah, mereka akan mengatakan ayah mereka yang banyak kali keluar rumah dan meninggalkan keluarga.

“Anak-anak juga selalu bertanya kenapa ayah tiada di rumah? Saya tidak lari ke mana-mana. Saya ada di rumah mertua. Sesekali di rumah mak ayah saya. Anak-anak juga di situ.

“Kenapa tak datang? Pernah ke datang? Malah ketika kami nak menunaikan umrah tahun lalu, adakah patut dia minta keluarga mertua membawa anak-anak pergi berjumpa dengannya.

“Sepatutnya dialah yang datang ke rumah keluarga untuk berjumpa anak-anak. Selama ini bukan saya tak nak berbincang, malah keluarga juga sedaya upaya menasihatinya,” ulasnya.

Bagi pelakon berusia 37 tahun itu, hakikatnya Syamsul yang memilih untuk lari daripada masalah malah gagal melunaskan tanggungjawab sebagai suami yang kononnya sudah disempurnakan dengan menyeksa batinnya.

“Tapi dia sendiri yang mengambil pendekatan untuk melarikan diri daripada masalah ini. Bila dah kahwin, baru nak cakap semua ini.

“Lelaki yang selalu guna kuasa veto dengan perkataan ‘masih suami’ tapi gagal dalam nafkah batin sehingga menganggu kesihatan mental isteri.  Inilah yang buat Islam nampak buruk di mata masyarakat bukan Islam di luar sana,” tambah Sarah panjang lebar.

Berikutan keputusan Syamsul berkahwin dengan Ira di Thailand, secara tidak langsung isteri baharu suaminya itu melanggar perintah injuksi seperti yang telah difailkan tahun lalu.

“Saya dah pernah tanya banyak kali sama ada nak berkahwin dengan Ira ataupun tidak, tapi dia tidak mengaku dan beberapa kali kata tidak mahu berkahwin dengan Ira.

“Kalau mengaku daripada awal tidaklah saya perlu saya turun naik mahkamah dan pergi ke Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) untuk membuat laporan terhadap gangguan yang dibuat wanita itu.

“Sekarang ini isteri baharu anda telah menghina mahkamah dengan melanggar perintah injuksi. Apa pun saya jumpa isteri baru anda di mahkamah,” katanya.

Luah ibu kepada dua cahaya mata itu lagi, dia mempunyai bukti kukuh membabitkan yang boleh dibawa ke mahkamah.

“Tapi tak mengapa saya ada semua bukti membabitkan hubungan mereka. Jadi kita tunggu di mahkamah,” ulasnya lagi. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI