fbpx

Pukul, bungkus mayat anak kekasih dalam guni buang ke semak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ibu dan kekasih ditahan bagi membantu siasatan kematian seorang kanak-kanak OKU di Bau baru-baru ini. Gambar fail

BAU – Tindakan seorang lelaki memukul anak perempuan kekasihnya sehingga mati sebelum membungkuskan dalam guni dan dibuang ke dalam semak di Kampung Kranji, di sini, terbongkar selepas dia ditahan polis ­kelmarin.

Dalam kejadian pada pukul 3 petang itu, suspek berusia 35 tahun ditahan pihak polis di Ku­ching selepas polis memburunya selama beberapa hari.

Mangsa yang maut itu merupakan seorang kanak-kanak orang kelainan upaya (OKU) berusia 6 tahun.

Ketua Polis Daerah Bau, ­Deputi Superintendan Poge Nyaon berkata, tangkapan itu susulan satu laporan polis yang dibuat oleh ibu mangsa pada 21 Disember lalu.

Ujar beliau, polis turut me­nerima laporan awal daripada orang awam pada hari sama yang mengatakan seorang wanita bersama anak perempuan sulung­nya ketakutan untuk pulang ke rumah kerana telah dipukul oleh teman lelakinya.

“Hasil soal siasat terhadap suspek, dia memberitahu telah memukul anak bongsu teman wanitanya itu sehingga tidak bernyawa dan membuang mayat mangsa di kawasan semak di Kampung Kranji, di sini.

“Pada lebih kurang pukul 6.45 petang semalam (kelmarin), pihak polis dipandu oleh suspek menunjukkan tempat dia membuang mayat mangsa yang dibungkus di dalam guni.

“Ibu mangsa yang berusia 34 tahun telah dibawa ke lokasi mayat dibuang dan mengesahkan bahawa itu adalah anaknya berdasarkan pakaian dan anak patung yang dipegang oleh ­mangsa,” katanya dalam kenya­taan semalam.

Menurut Poge, suspek dipercayai membunuh mangsa kira-kira lima hari sebelum laporan polis dibuat oleh ibu mangsa.

Justeru itu, beliau berkata, ibu mangsa turut ditahan untuk membantu siasatan lanjut dan mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Umum Sarawak di Ku­ching untuk dibedah siasat.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Pihak polis akan menjalankan siasatan kes ini secara rapi dan profesional serta akan melengkapkan siasatan untuk ­dirujuk ke Pejabat Pendakwaan Negeri,” tegas beliau.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI