fbpx

Kedah tetap henti operasi premis judi sekalipun raih jutaan ringgit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhammad Sanusi (kanan) pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman, Alor Setar hari ini.

ALOR SETAR – Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor memberitahu akan tetap menamatkan operasi premis perjudian dan loteri sekalipun sektor itu mampu meraih hasil jutaan ringgit.

Menurut Muhammad Sanusi, sektor tersebut bagaimanapun hanya menyumbang pendapatan kira-kira RM400,000 setahun iaitu daripada segi cukai, papan pengiklanan dan sebagainya.

“Kalau RM400 juta pun saya nak hentikan juga, ini kan pula RM400,000 kerana kesan buruk yang teruk.

“Nak ‘baiki’ masyarakat, ahli keluarga yang berselerak kerana bapa jadi tahi judi balik tabuh anak dan mak, jual harta, curi duit kerana gila judi lebih teruk daripada RM400,000 (kerugian) itu,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman di sini hari ini.

Kata beliau, kerajaan negeri tidak mengalami sebarang kerugian susulan langkah berkenaan selain tidak akan melayan desakan untuk mempertimbangkan semula langkah itu.

“Tidak ada kerugian apa-apa, malah ada untungnya (kerana) masyarakat kita selamat. Tindakan itu saya harap dapat sokongan dan Allah berkati usaha yang kita buat ini kerana ia selari dengan tuntutan Allah.

“Allah akan tolong kita dapat hasil lebih banyak daripada sumber lain di samping dapat selamatkan masyarakat kita daripada kerosakan disebabkan perjudian.

“Tidak ada orang jadi kaya kerana judi, tauke judi sahaja kaya (sebaliknya) tahi judi, tikam nombor, bomoh (ramal nombor) tak ada seorang yang kaya, semuanya papa kedana,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI