fbpx

Pekerja asing maut jatuh ketinggian 70 meter

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Seorang pekerja subkontraktor warga Nepal maut selepas terjatuh daripada ketinggian 70 meter dalam kejadian di sebuah tapak pembinaan di Johor Bahru, semalam.

JOHOR BAHRU – Seorang pekerja kontrak warga negara Nepal maut di tempat kerjanya selepas terjatuh daripada kawasan tinggi di sebuah tapak projek pembinaan, di sini semalam.

Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Johor dalam satu kenyataan memberitahu, kejadian itu berlaku pada pukul 10.21 pagi.

Menurut kenyataan tersebut, mangsa adalah seorang lelaki berusia 42 tahun.

“Hasil siasatan awal dijalankan mendapati mangsa merupakan pekerja subkontraktor yang dilantik bagi kerja-kerja membuka perancah di kawasan pembinaan berkenaan.

“Mangsa telah terjatuh dari ketinggian 70 meter, menyebabkan dia mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan yang hadir,” menurut kenyataan itu.

Tambah kenyataan tersebut, JKKP Johor telah mengeluarkan notis larangan serta-merta berkaitan aktiviti kerja memasang dan membuka perancah kepada pihak majikan termasuk arahan larangan kacau ganggu tempat kejadian.

“Siasatan lanjut akan dijalankan bagi mengenal pasti punca kemalangan dan pihak yang bertanggungjawab atas kemalangan tersebut. JKKP Johor akan mengambil tindakan perundangan terhadap pihak bertanggungjawab sekiranya didapati terdapat pelanggaran di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994.

“JKKP memandang serius setiap kemalangan yang berlaku terutamanya melibatkan pekerja mahupun orang awam. Majikan mempunyai kawalan penuh ke atas sebarang aktiviti di tempat kerja,” menurut kenyataan itu lagi.

Tambahnya, majikan bertanggunjawab mengenal pasti bahaya di tempat kerja sekali gus membuat penilaian risiko dan mengadakan kawalan di tempat kerja yang berkesan sebelum pekerja menjalankan aktiviti kerja.

“Ini bagi mengurangkan risiko ke atas pekerja dan mengelakkan sebarang kemalangan. Adalah menjadi tanggungjawab majikan untuk melaporkan kemalangan maut yang berlaku dengan serta-merta kepada JKKP dengan cara yang paling cepat.

“Kejadian seumpama ini boleh dielakkan jika majikan melakukan penaksiran dan kawalan risiko yang komprehensif mengikut kaedah dinyatakan dalam Garis Panduan Pengenalpastian Hazard, Penaksiran Risiko dan Kawalan Risiko (HIRARC),” tambah kenyataan itu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI