BAGI sesetengah individu yang dilahirkan dalam keadaan kekurangan atau tidak sempurna, mereka pastinya berdepan cabaran dalam menjalani kehidupan seharian.
Tidak dinafikan, cabaran berterusan pula adakalanya boleh menyebabkan seseorang itu mula berputus asa dan hilang keyakinan diri.
Namun, di sebalik kekurangan yang dimiliki, seorang anak kelahiran Petaling Jaya, Selangor iaitu Lim Anuar berjaya mencipta nama dalam bidang seni halus menerusi lukisan batik.
Lim yang dilahirkan pekak tidak langsung menjadikan kekurangannya itu sebagai penghalang untuk menjadi seorang pelukis batik disegani sehingga menerima pelbagai anugerah dari dalam dan luar negara.
Antaranya termasuk memenangi pingat emas dalam acara melukis sutera di pertandingan Abilimpik Antarabangsa ke-8 di Seoul, Korea Selatan pada tahun 2011 dan juga hadiah pertama pertandingan melukis batik Piala Seri Iman di Kuala Terengganu pada tahun 2005.
Menerusi satu temu bual bersama K2, lelaki berusia 52 tahun itu memberitahu bahawa dia dilahirkan pekak dan tidak boleh bertutur, namun boleh menulis dan membaca dengan baik.
Biarpun medium komunikasinya terhad dan tidak seperti orang lain, namun Lim bersungguh-sungguh mahu berjaya dalam industri seni. Malah, lelaki ini turut mendapatkan pendidikan formal dalam bidang seni dari Universiti Limkokwing.

Cerita Lim, dia mula berminat dengan seni sejak berusia 10 tahun.
“Saya mula meminati seni ketika di bangku sekolah rendah dan antara objek atau motif yang paling saya sukai ketika itu adalah burung phoenix dan naga.
“Saya pertama kali didedahkan dengan batik ketika mengikuti satu kelas di Pulau Pinang, yang mana ketika itu terdapat subjek seni termasuk lukisan batik,” katanya.
Lim menerima pendidikan di sebuah Sekolah Persekutuan untuk Orang Pekak di Pulau Pinang sejak berusia tiga tahun.
Selepas menamatkan persekolahan, dia menyambung pengajian dalam peringkat ijazah sarjana muda di Universiti Limkokwing.
Sehingga kini, Lim sudah pun menghasilkan lebih 100 rekaan batik untuk tujuan pameran seni, jualan, pengumpulan hasil seni dan juga sebagai simpanan peribadinya.
Lim banyak menghabiskan masanya dengan membangunkan teknik batik menggunakan caranya sendiri berasaskan bahan dan teknik moden.
“Rekaan batik kegemaran saya yang dihasilkan adalah bertajuk Gotong-Royong.
“Ia merupakan motif batik dengan teknik saya sendiri yang menggambarkan tentang keluarga di sebuah kampung yang mengajar anak-anak mereka untuk mengutip dan membersihkan daun,” jelasnya.
Tambah Lim, mesej sedemikian merupakan usahanya untuk memupuk kesedaran tentang penjagaan alam sekitar menerusi penghasilan seni kreatif seperti batik.

Akui Lim, hidup sebagai seorang individu pekak yang berkecimpung dalam industri seni sememangnya cukup mencabar, terutama dari sudut komunikasi.
“Kesukaran untuk berkomunikasi telah meletakkan saya dalam beberapa kesukaran dalam hidup. Antaranya, saya tidak boleh menyuarakan pendapat saya, berkongsi fikiran, bertukar idea dan juga menerima maklumat dengan cepat.
“Berbeza dengan orang normal yang boleh mendengar sesuatu dengan pantas, saya pula hanya mengetahui maklumat sama atau memahaminya beberapa bulan kemudian,” ujarnya.

Jelasnya lagi, dia juga berdepan cabaran dalam beberapa situasi lain seperti perbincangan berkumpulan, temu bual dan juga panggilan telefon.
“Mungkin tidak ramai yang tahu, penterjemah adakalanya sukar untuk didapati dan kos mengupah mereka juga agak mahal.
“Ia menyebabkan saya sukar untuk memasarkan diri saya dengan berkesan dan sedikit sebanyak menyebabkan saya berputus asa, berasa malu dan juga meminggirkan diri,” katanya.
Bercerita lanjut, dia juga pernah beberapa kali terfikir untuk berputus asa dan terus berhenti menghasilkan batik kerana selain sukar dihasilkan, batik juga agak susah untuk dijual.
Namun, hasrat Lim terbantut apabila seorang pelukis batik dari Pulau Pinang memberikan semangat kepada Lim untuk meneruskan kerja batiknya memandangkan baginya Lim satu-satunya harapan untuk mewujudkan lebih banyak kesedaran tentang batik.
Tambahnya, cabaran sebagai seorang artis batik pula adalah seperti kekurangan ruang untuk melukis batik, proses lukisan yang sukar dan kos bahan tinggi.
“Perkara-perkara ini merupakan cabaran melibatkan penghasilan batik dan sejujurnya, saya belum menemui cara untuk mengatasinya. Oleh itu, saya kini lebih fokus terhadap latihan dalam industri batik dan mahu melihat bagaimana ia berkembang,” katanya yang cukup mengagumi pelukis batik terkenal, Datuk Tay Mo Leong dan Allahyarham Ismail Mat Hussin.














