PETALING JAYA – Percutian dan ziarah dakwah seorang rakyat Malaysia ke United Kingdom (UK) berubah sekelip mata apabila secara tiba-tiba dia terjatuh, sekali gus tidak sedarkan diri dalam kejadian 9 Disember lalu.
Difahamkan, kejadian menimpa Muhamad Ali Nor Yaakob, 59, berlaku sewaktu bangun mengerjakan solat sunat tahajud.
Dia ditemani isteri, Radziah Ahmad, 48, dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Salford Royal, Manchester.
Muhamad Ali berasal dari Johor mengalami pendarahan otak dan serangan strok berada di wad itu kira-kira tiga minggu dan memerlukan sumbangan RM300,000 bagi pembayaran bil hospital serta kos rawatan lain termasuk pembedahan.
Seorang rakyat Malaysia yang menetap di UK, Sofinee Harun yang membantu urusan Muhamad Ali di hospital itu memberitahu, lelaki tersebut bersama isteri ke UK secara rombongan kumpulan dan sepatutnya pulang ke Malaysia 22 Disember.
“Sebenarnya dia mengambil insurans sebelum penerbangan ke UK, namun hanya boleh dituntut maksimum kira-kira RM100,000. Urusan bagi tuntutan insurans juga sedang dibuat.
“Bayaran satu malam di ICU dijangka £3000 atau kira-kira RM16,000. Kita akan berunding dengan pihak hospital untuk memohon mengurangkan bayaran bil atau sekurang-kurangnya diskaun,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Sofinee yang aktif melakukan kerja amal memaklumkan, seorang anak pasangan tersebut serta adik kepada Muhamad Ali sudah tiba di UK bagi menyelesaikan urusan-urusan diperlukan.
“Pasangan ini mempunyai 11 anak dengan seorang daripadanya berusia 23 tahun iaitu orang kelainan upaya (OKU) dijaga anak sulung mereka ketika ini.
“Difahamkan, ada beberapa anak pasangan ini masih bersekolah,” katanya.
Dalam pada itu, Sofinee berkata, sejak kisah Muhamad Ali dikongsi di laman sosial Facebook, sebanyak RM33,835 sumbangan berjaya dikumpul sehingga 29 Disember lalu daripada orang ramai termasuk rakyat Malaysia.
“Pada masa ini, nampak perubahan haji (panggilan Muhamad Ali) dan dia dalam keadaan sedar serta memberikan maklum balas, namun masih letih. Ia adalah ujian untuk mereka, justeru mungkin ada rakyat Malaysia yang boleh tampil membantu biarpun sedikit,” katanya.
Sumbangan boleh boleh dibuat melalui ‘Kitchen in Calais’ menerusi akaun Maybank KICM 555108320967 (rujukan Haji Ali) atau kepada adik Muhamad Ali melalui akaun Maybank Mohammad Farid Yaakob 162339018726 (rujukan Ali Nor).














