fbpx

Kerajaan pastikan ‘dana diambil’ dipulangkan semula kepada rakyat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar ketika berucap menyampaikan Amanat Khas Tahun Baharu di Masjid Putra tadi.

PUTRAJAYA- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu memastikan sebahagian dana yang dipunggah pemimpin terdahulu ketika memerintah kerajaan dipulangkan semula kepada rakyat.

Anwar berkata, jumlah dana yang diambil ketika golongan itu berkuasa bukan dalam nilai yang kecil, sebaliknya mencecah hampir bilion ringgit.

“Saya mahu nasihat rakan-rakan yang lain, yang cakap tentang bersih dan saban hari menyerang beberapa tokoh dalam Kerajaan Perpaduan, apatah lagi orang yang pernah menjadi Menteri Kewangan dan Perdana Menteri, tatkala mereka berkuasa, bukanlah memunggah jutaan, tetapi bilion ringgit.

“Jadi, saya nasihat kerajaan ini akan pastikan sekurangnya sebahagian dana yang dipunggah itu dipulangkan semula kepada rakyat kerana jumlahnya bukan kecil,” katanya ketika menyampaikan Amanat Khas Tahun Baharu di Masjid Putra tadi.

Anwar menjelaskan, ada pihak turut memintanya untuk ‘move on’, namun beliau tetap akan mengambil tindakan kerana ia memberi kesan kepada rakyat.

“Ada mengatakan Anwar kita harus ‘move on’, yang lalu biarlah berlalu. Kalau ia ada kesan peribadi, saya boleh maafkan, malah saya sudah maafkan.

“Kalau berterusan berlaku, saya akan ambil tindakan kerana kesannya kepada rakyat dan harta mereka. Tidak ada kuasa seorang Perdana Menteri untuk lepaskan puluhan, ratusan atau bilion ringgit yang dipunggah ketika mereka berkuasa,” tegasnya.

Susulan itu, menurutnya, badan penguatkuasaan perlu mencari jalan supaya rakyat tidak terpukau dengan janji dan slogan yang bersih, tetapi diseliputi ratusan kekayaan yang dipunggah kepada mereka.

“Saya sebutkan hal ini untuk ingatkan bahawa tugas ini tanggungjawab bersama, ini bukan soal politik kepartian, ini tugas rakyat Malaysia.

“Jika mahu jaminan negara selamat dan diangkat martabat, maka perlu ada tekad jelas dan hentikan amalan ini. Bila mana fakta nyata memunggah kekayaan besar, maka rakyat perlu bersama untuk kembalikan semula kepada rakyat,” jelasnya.

Terdahulu, Anwar tiba di Masjid Putra di sini bagi Program Munajat Ambang Tahun Baharu 2023 kira-kira pukul 6.20 petang

Sejurus tiba Anwar bersama barisan Jemaah Menteri dan orang ramai yang hadir terlebih dahulu menjamu selera sebelum menunaikan solat..

Lebih 2,000 jemaah menunaikan solat Maghrib sebelum disusuli solat hajat dan Bacaan Yasin.

Pada 21 Disember lalu, Anwar mengumumkan sambutan Ambang Tahun Baharu yang biasanya disambut pada 31 Disember, dibatalkan sebelum digantikan dengan program munajat.

Ia juga dilaksanakan sebagai menghormati mangsa bencana banjir khususnya di Kelantan dan Terengganu baru-baru ini.

Serentak pengumuman itu, beberapa negeri turut membatalkan sambutan berkenaan termasuk Selangor dan Pulau Pinang.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI