fbpx

Kerajaan beri perhatian usaha kurangkan risiko banjir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Akmal Nasrullah (berkemeja putih) menyaksikan Anwar menurun tanda tangan merasmikan Masjid Kampung Melayu Majidee, Johor Bahru hari ini. - Foto RAJA JAAFAR ALI

JOHOR BAHRU – Kerajaan Persekutuan akan memberi tumpuan kepada usaha mengurangkan risiko banjir dan banjir kilat di Johor bagi menjaga kesejahteraan rakyat di kawasan berisiko banjir.

Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir berkata, perkara itu dimaklumkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam lawatan rasminya ke negeri ini hari ini.

Akmal Nasrullah yang juga Ahli Parlimen Johor Bahru berkata, situasi banjir di daerah Segamat dan Johor Bahru antara isu yang mendapat perhatian kerajaan untuk ditangani segera.

Katanya, perkara itu dibuktikan menerusi kerja-kerja penambahbaikan dan menaik taraf yang dibuat di kedua-dua kawasan terbabit.

“Saya sempat mengangkat permasalahan berkaitan masalah banjir di Johor kepada Perdana Menteri tadi dan sememangnya komitmen kerajaan Persekutuan menyelesaikan isu mendesak ini.

“Kementerian juga akan cuba angkat isu penyelesaian banjir bukan sahaja di Johor, malah di lokasi lain yang mendesak supaya ia dapat diberi keutamaan sekali gus dimasukkan dalam Belanjawan 2023 yang akan dibentang pada Februari nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Jamek Kampung Melayu Majidee, di sini hari ini.

Kehadiran Anwar yang turut solat Jumaat di masjid yang sama menerima sambutan meriah apabila ribuan jemaah menunggu untuk bersalaman dan mengambil gambar bersamanya.

Sementara itu, Akmal Nasrullah berkata, pihaknya juga akan meneliti permasalahan isu banjir dengan lebih teliti termasuk membabitkan projek tebatan banjir di kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Untuk projek tebatan banjir di PBT yang dipersetujui sebelum pilihan raya, projek yang sesuai akan diteruskan manakala ada projek yang memerlukan penelitian lanjut.

“Jika projek tebatan banjir di PBT itu amat mendesak dan perlu dimasukkan ke dalam Belanjawan 2023, saya yakin kerajaan negeri akan mencadangkan ia kepada kerajaan Pusat. Isu mendesak seperti banjir wajar diberi pertimbangan khas,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI