fbpx

Mahkamah: kes saman penghutang penghakiman Hana, Watie selesai cara baik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Fikri (kanan) yang mewakili Hana dan peguam Aqila Zulaiqha mewakili Watie ketika hadir di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

SELAYANG – Kontroversi kes saman penghutang penghakiman yang difailkan bekas anggota kumpulan Elite, Hana terhadap rakan kumpulannya, Watie berakhir apabila kedua-duanya bersetuju menyelesaikan kes secara baik di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Pada prosiding dalam kamar hari ini, perintah penghakiman persetujuan itu kemudian direkodkan Hakim Nor Rajiah Mat Zin yang dihadiri peguam Mohd. Fikri Abd.Rahman mewakili Hana manakala peguam Aqila Zulaiqha Zulkifli, mewakili Watie.

Bagaimanapun Hana dan Watie tidak hadir ke mahkamah.

Hana, selaku pemiutang penghakiman (judgment creditor) memfailkan saman itu bagi menuntut Watie, selaku penghutang penghakiman (judgment debtor) membuat bayaran hutang tertangguh lebih RM700,000 kepada Hana seperti diperintahkan sebelum ini oleh mahkamah sama, pada 25 Oktober 2017.

Sejurus selepas tamat prosiding, Mohd. Fikri ketika ditemui berkata, pihak-pihak terlibat bersetuju untuk menyelesaikan kes saman itu secara baik dan Watie juga bersetuju untuk menyelesaikan jumlah tuntutan yang dituntut Hana.

“Jumlah yang dipersetujui ialah RM796,000 termasuk faedah dan Watie akan membayar secara ansuran lebih RM2,000 sebulan seperti mana dipersetujui di hadapan hakim.

“Watie akan menjelaskan bayaran itu pada setiap bulan sehingga penyelesaian penuh jumlah bayaran berkenaan,” kata peguam itu.

Menurut Mohd. Fikri, pembayaran ada dibuat oleh Watie seperti diperintahkan sebelum ini oleh mahkamah sama pada 25 Oktober 2017, namun tertangguh berikutan kekangan kewangan akibat pandemik Covid-19.

Mengulas lanjut, peguam itu berkata pada masa sama Hana juga kehilangan kerja dan mungkin disebabkan itu, anak guamnya agak beremosi.

“Namun, perkara ini akhirnya dapat diselesaikan secara baik dengan terma-terma dipersetujui. Saya minta supaya kes ini tidak dipanjangkan kerana anak guam saya bersetuju menerima jumlah yang dicadangkan oleh Watie.

“Masing-masing memerlukan sumber kewangan dan Alhamdulillah, kita dapat selesaikan secara baik dan peguam-peguam juga telah berbincang mencari jalan terbaik,” kata peguam itu.

Minggu lalu, media melaporkan Hana enggan bertolak ansur lagi dengan Watie yang didakwa masih tidak melunaskan pembayaran ansuran RM2,500 sebulan kepadanya sebagaimana diperintahkan Mahkamah Sesyen di sini pada 2017 lalu.

Hana berkata, sudah lima tahun masa diberikan untuk Watie menyelesaikan tuntutan hutang secara ansuran seperti mana sudah diperintahkan mahkamah sebelum ini.

Pada Mei 2017, Hana memfailkan tuntutan saman penghutang penghakiman terhadap Watie selepas dia gagal membayar ganti rugi yang ditetapkan mahkamah.

Mahkamah memerintahkan Watie membayar ansuran sebanyak RM2,500 sebulan kepada Hana sebagai penyelesaian bayaran tuntutan ganti rugi sebanyak RM707,351.83. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI