fbpx

Shaarnaz Ahmad selar produksi ‘lenjan’ pelakon, kru kerja 20 jam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SHARNAAZ AHMAD

PETALING JAYA – Nasib pelakon dan kru yang ‘dilenjan’ sehingga perlu bekerja hampir 20 jam sehari mengundang kemarahan aktor popular, Sharnaaz Ahmad.

Terkenal sebagai figura lantang bersuara mengenai kepincangan sosial, bintang filem Jebat itu menyelar sikap tamak dan mementingkan diri sesetengah golongan karyawan yang mengerah keringat pelakon dan kru seperti tanpa belas di lokasi penggambaran.

Katanya, syarikat produksi yang mengamalkan budaya kerja lebih masa tidak masuk akal itu perlu dipantau atau sepatutnya dihalang daripada mendapat lesen meneruskan kerja-kerja penerbitan.

“Produksi bodoh mana yang masih lagi melakukan kerja penggambaran hingga 20 jam sehari?

“Macam mana mereka semua ini layak dapat lesen untuk buka syarikat produksi.

“Finas (Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia) sila pantau.

“Apa pun bukan di set aku. Kalau set aku, memang kena tendang penerbit dan pengarah,” luahnya menerusi Instagram Story.

TANGKAP layar kemarahan Sharnaaz terhadap syarikat produksi yang memaksa kerja lebih masa yang diluahkan dalam InstaStorynya.

Selain Finas, bintang Juvana itu turut mendesak persatuan membabitkan penggiat seni tampil menyelesaikan isu kerja lebih masa yang melampau dengan kadar segera.

Katanya, jangan disebabkan kedegilan syarikat produksi mahu menjimatkan kos, semua yang terlibat dalam penerbitan tersebut ditekan sebegitu.

“Budaya ‘lenjan’ artis dan kru ini masih perlukah pada zaman 2022 ni?

“Produser tamak nak jimat kos, laksanakan penggambaran lebih masa, artis dan kru tak mampu nak buat yang terbaik sebab penat dan penerbit tarik muka.

“Kepada Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) dan Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), mana kerja 12 jam kami (artis dan kru),” katanya.

Begitupun, aktor berusia 37 yang lantang memperjuangkan nasib rakan seperjuangan lain menyatakan masih boleh terima kerja lebih masa, namun bukan secara melampau batasan atau setiap hari dikerah sedemikian rupa.

“Minta pantau produksi yang jahanamkan industri. Kalau nak terlajak sampai 14 jam, kami masih boleh terima, tetapi bukan hari-hari,” jelas Shaarnaz.

Bukan isi baharu, polemik membabitkan jadual kerja tidak menentu membabitkan tempoh kerja lebih masa yang tidak sepatutnya sudah lama dibahaskan dalam kalangan pekerja seni hingga dibawa peringkat persatuan berkaitan.

Susunan jadual lebih tersusun selain sokongan teknologi moden juga antara faktor diharap dapat membantu mengurangkan tempoh menunggu di set, manakala pelakon dan kru pula harus dibayar ‘overtime’ selepas 12 jam bekerja.

Namun situasi dilalui sebahagian besar pekerja seni tidak seindah disangkakan apabila masih terhimpit walaupun bertukar ganti musim.

Situasi peralihan ke fasa endemik yang membuatan ada dalam kalangan penerbit menggesa kerja penggambaran yang tertangguh selama dua tahun disegerakan secara lebih agresif memburukkan keadaan bahkan dalam kes terpencil mampu mendatangkan kemurungan dan insiden tidak diingini buat kru dan pelakon terlibat . – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI